|
Selangor bangunkan sektor perkhidmatan. |
|
Thursday, 09 August 2007 |
SHAH ALAM, 8 Ogos (Utusan Malaysia) -- Selangor akan menggunakan dana RM2 bilion daripada Kerajaan Pusat untuk memajukan sektor perkhidmatan dan perniagaan.
Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Mohamad Khir Toyo berkata, langkah itu bagi menjadikan sektor berkenaan, sektor yang terpenting di negeri ini selepas perindustrian.
Katanya, dana daripada Kementerian Tenaga, Air dan Komunikasi bertujuan membolehkan Selangor meningkatkan keupayaan internet dan jalur lebar di negeri ini.
‘‘Kita sedar untuk memastikan sektor perkhidmatan dan perniagaan berjaya memacu pertumbuhan ekonomi Selangor, kita harus memiliki kemudahan internet yang lengkap dan terkini.
‘‘Justeru, kita akan memanfaatkan sepenuhnya dana yang diberikan oleh Kerajaan Pusat itu untuk memajukan ekonomi Selangor,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Exco Kerajaan Negeri, di sini hari ini.
Beliau berkata, melalui langkah itu, sektor berkenaan dijangka akan turut menjana perolehan kepada Selangor.
Menurutnya, pada masa ini sektor perindustrian merupakan penyumbang utama perolehan Selangor.
Mohamad Khir berkata, penyediaan kemudahan internet yang menyeluruh itu juga mampu menarik lebih banyak pelaburan asing ke Selangor, sekali gus menggalakkan lebih banyak urusniaga eksport.
Beliau yakin, tumpuan kepada sektor baru itu mampu menjana hasil bagi Selangor, seperti usaha Kerajaan Negeri sebelum ini mengubah sektor pertanian kepada perindustrian.
Beliau berkata, kerajaan negeri juga sedang dalam proses membangunkan kawasan perindustrian baru untuk merancakkan lagi sektor perkilangan di Selangor. |
|
Last Updated ( Friday, 18 January 2008 )
|