Kabinet mahu pastikan pengangkutan awam lebih selamat.
Thursday, 16 August 2007
PUTRAJAYA, 16 Ogos (Berita Harian) -- Penggantungan serta-merta permit syarikat pengangkutan awam yang terbabit dalam kemalangan maut adalah antara enam tindakan segera yang diluluskan Kabinet semalam, bagi memastikan perkhidmatan pengangkutan awam, terutama bas ekspres, lebih selamat.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Chan Kong Choy berkata Kabinet bersetuju semua enam tindakan itu dilaksanakan serta-merta berikutan nahas jalan raya terburuk yang mengorbankan 20 orang di Kilometer 229.1 Lebuhraya Utara-Selatan berhampiran Kawasan Rehat dan Rawat Bukit Gantang, Taiping, Isnin lalu.

Dalam nahas jam 4.40 pagi itu, sebuah bas ekspres yang dalam perjalanan dari Melaka ke Alor Star bersama 29 penumpang, terbabas dan melanggar penghadang lebuh raya sebelum terhumban ke dalam parit serta merempuh bongkah batu di situ.

Rempuhan itu menyebabkan bas berkenaan terbalik dan bumbungnya tercabut. Siasatan awal polis juga mendapati pemandu bas berkenaan, Rohizan Abu Bakar, 38, yang turut terbunuh dalam nahas itu, mempunyai 15 kesalahan trafik termasuk dua waran tangkap.

Chan berkata, tindakan itu adalah antara beberapa perkara yang terkandung dalam Pelan Keselamatan Jalan Raya 2005-2006 yang dirangka kementeriannya untuk dilaksanakan secara berperingkat.

"Akan ada lebih banyak program keselamatan akan dilaksanakan satu demi satu selepas ini," katanya pada sidang media di pejabatnya di sini.

Menjelaskan mengenai pelaksanaan Kod Amalan Keselamatan, Kesihatan dan Persekitaran yang dirangka di bawah Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994, beliau berkata, ia menggariskan beberapa panduan bagi majikan untuk memastikan keselamatan pekerja ketika bertugas.

Katanya, kod amalan keselamatan yang kini diguna pakai syarikat multinasional seperti Shell dan Exxon Mobil itu, juga melindungi pihak yang terbabit secara langsung atau tidak langsung ketika pekerjaan itu dijalankan.

“Ini bermakna semua syarikat pengangkutan awam dikehendaki merangka dasar dan program 'self-regulatory' atas dasar mengutamakan keselamatan seperti yang diamalkan industri pengangkutan udara, termasuk sistem pengambilan dan pengujian pemandu,” katanya.

Chan berkata, pematuhan R66 ECE pula membabitkan pembinaan kenderaan komersial baru kerana struktur bumbung yang kuat mampu mengurangkan kematian ketika kemalangan.

"Ini bermakna pembinaan bas baru perlu mendapat pengesahan jurutera bertauliah terlebih dulu sebelum pendaftaran diluluskan," katanya.

Beliau berkata, berdasarkan penemuan daripada kemalangan Isnin lalu dan sebelum ini, Kabinet juga bersetuju program penambahbaikan penghadang jalan di seluruh negara dilakukan segera.

Katanya, satu pelan menyeluruh akan disediakan untuk menaik taraf dan membina penghadang jalan berdasarkan piawaian minimum TL3 bagi laluan biasa dan TL6 di kawasan berisiko.

Merujuk tindakan menggantung serta merta semua permit syarikat bas yang terbabit dalam kemalangan Isnin lalu, beliau berkata, tindakan sama akan dikenakan terhadap syarikat pengangkutan awam yang terbabit dalam kemalangan maut pada masa depan.

"Semua permit kenderaan syarikat berkenaan akan digantung serta merta berdasarkan rekod perkhidmatan syarikat berkenaan dan audit penuh terhadap syarikat itu akan dilakukan," katanya.

Chan berkata, permit kenderaan komersial yang gagal pemeriksaan Puspakom sebanyak tiga kali berturut-turut juga akan digantung selama sebulan bagi memastikan pembaikan secara menyeluruh dilakukan sebelum dibenarkan beroperasi semula.

"Pada masa ini pemilik boleh membawa kenderaan komersial masing-masing untuk diperiksa berkali-kali sehingga lulus dengan hanya membuat sedikit pembaikan," katanya sambil menambah Kabinet juga memutuskan supaya kursus kecekapan tambahan pemandu vokasional dilaksanakan segera.

Mengenai kegagalan pihak berkuasa bertindak terhadap pemandu yang memiliki banyak saman dan waran tangkap, Chan berkata:

“Kalau waran tangkap sudah dikeluarkan, saya fikir kita perlu melaksanakan dengan serius... jejak dia dan pergi ke alamat rumah dia dan tangkap dia."

Chan juga berkata, Kementerian Pengangkutan akan bertegas dalam pemberian Lesen Perubahan Sementara untuk bas tambahan pada musim perayaan bagi memastikan hanya bas yang selamat digunakan.

"Kita akan lebih tegas, tunggu dan lihat bila menjelang Hari Raya ini. Saya harap orang ramai akan faham," katanya.

Mengenai kontroversi membabitkan projek Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ), Chan berkata, beliau sudah mengemukakan laporan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

"Kami akan mengeluarkan kenyataan tidak lama lagi," katanya.

INFO
Enam tindakan

1 - Penggantungan serta-merta permit syarikat
2 - Menggantung permit bas yang gagal pemeriksaan Puspakom tiga kali berturut-turut
3 - Melaksanakan Kod Amalan Keselamatan, Kesihatan dan Persekitaran bagi pengurusan kenderaan komersial
4 - Bumbung kenderaan komersial baru akan dibina mengikut garis panduan R66 ECE (Suruhanjaya Ekonomi Eropah)
5 - Menambah baik sistem penghadang jalan di seluruh negara
6 - Melaksanakan kursus kecekapan tambahan untuk pemandu komersial

Last Updated ( Friday, 18 January 2008 )
 

Pengumuman



 Selamat Datang ke

        Portal eKL

    

MyGov Info
Satu saluran Info Agensi Kerajaan...

Soal Selidik MyBayar
Pandangan anda mengenai pembayaran elektronik kerajaan

Direktori Perkhidmatan
Direktori Perkhidmatan Online Agensi Kerajaan 

Kliklah Siri 4
Perkhidmatan IPT !!! 



  
MAMPU Director-
General

The WITSA Global ICT
Excellence Awards are held
every two years, in connection
with WITSA’s premier event;
the World Congress on IT.
MyGovernment Portal Wins
Global ICT Award - More Info


    ARTICLES

RSS eKL

PENAFIAN:Kerajaan Malaysia tidak bertanggungjawab terhadap sebarang kehilangan atau kerosakan yang dialami kerana menggunakan maklumat dalam laman ini.

Paparan terbaik menggunakan browser Internet Explorer 7.0 dan Mozilla Firefox

Dasar Privasi | Dasar Keselamatan