|
PUTRAJAYA, 18 Sept (Berita Harian) -- Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP) akan mengeluarkan 1,000 Lesen Perubahan Sementara (LPS) atau permit bas tambahan bagi menampung permintaan orang ramai sepanjang cuti Aidilfitri bulan depan.
Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Seri Mohd Khaled Nordin, berkata tiket bas tambahan untuk semua perjalanan antara 6 Oktober hingga 20 Oktober itu akan dijual di kaunter bas ekspres mulai minggu depan dan pengendali boleh mengenakan caj tambahan sehingga RM5 untuk setiap tiket bagi menampung kos operasi. "LPS ini dibuka kepada kepada bas ekspres sedia ada, bas pesiaran, bas bandar, bas sewa khas, bas kilang dan bas sekolah. Bagaimanapun, semua permohonan mesti dikemukakan menerusi syarikat bas untuk memudahkan urusan penjualan tiket dan pemantauan oleh LPKP. "Namun pengecualian diberikan kepada bas kilang dan bas sekolah yang ingin menyediakan perkhidmatan sewa khas tetapi mereka perlu memenuhi syarat yang ditetapkan," katanya pada sidang media di sini, semalam. Hadir sama, Pengerusi LPKP, Datuk Markiman Kobiran. Mohd Khaled berkata, permohonan LPS yang lengkap dan mematuhi syarat ditetapkan akan mendapat kelulusan serta-merta. "Antara syarat itu ialah bas mesti berusia kurang daripada 12 tahun, lulus pemeriksaan khas Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom), memiliki perlindungan insurans, mempunyai pemandu kedua untuk perjalanan melebihi empat jam atau 300 kilometer dan mematuhi tempat pelepasan seperti bas ekspres," katanya. Mengenai tambahan 250 LPS tahun lalu, Mohd Khaled berkata, Ops Bersih yang dilaksanakan ketika ini menyebabkan ada syarikat bas yang menghadapi masalah kekurangan pemandu. "Memang tahun ini ada tambahan, semuanya bertujuan memastikan penumpang tidak menghadapi masalah mendapatkan tiket untuk pulang ke kampung masing-masing, pada musim cuti Aidilfitri nanti," katanya. Mohd Khaled berkata, LPKP juga akan membuka Bilik Gerakan seminggu sebelum dan selepas Aidilfitri bagi memudahkan orang ramai membuat aduan khususnya yang membabitkan bas ekspres. Beliau juga mengingatkan orang ramai supaya tidak membeli tiket bas daripada `ulat' kerana syarikat bas tidak akan bertanggungjawab jika berlaku sebarang masalah seperti tiada bas pada tarikh ditetapkan. |