|
JPN Umum Peraturan Baru Tukar Alamat Pada Kad Pengenalan. |
|
Friday, 21 September 2007 |
KUALA LUMPUR, 20 Sept (Bernama) -- Orang ramai yang ingin menukar alamat pada kad pengenalan atau mengemaskini alamat dalam cip perlu menggunakan borang Pertukaran Alamat-Lampiran 1 yang boleh didapati di pejabat-pejabat Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), kata Ketua Pengarah JPN Datuk Mohd Abdul Halim Muhammad.
Mengikut peraturan baru yang berkuatkuasa mulai Jumaat lepas, pemohon perlu menyertakan bersama dokumen sokongan seperti bil elektrik, bil air, cukai pintu, cukai taksiran atau seumpamanya atas nama pemohon atau suami isteri yang membuktikan mereka tinggal di premis itu, sebagai bukti alamat baru.
Pelaksanaan peraturan baru ini adalah bagi memastikan "penukaran alamat dibuat berdasarkan keterangan yang sahih dan tidak disalahgunakan untuk tujuan tertentu," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Bagi pemohon yang tidak dapat mengemukakan dokumen sokongan, mereka boleh mengemukakan surat pengesahan daripada penghulu, ketua kampung atau majikan bagi menyokong permohonan yang dibuat.
Malah JPN akan menerima dokumen sokongan atas nama ibu bapa atau adik beradik bagi pemohon yang masih tinggal bersama ibu bapa atau adik beradik mereka, katanya.
Mohd Abdul Halim berkata alamat yang akan digunakan pada kad pengenalan hendaklah alamat tempat tinggal tetap di Malaysia dan bukannya alamat tempat bekerja, pejabat, organisasi atau alamat yang menggunakan peti surat atau P.O.Box.
Bagi permohonan pertukaran alamat yang melibatkan gantian kad pengenalan, beliau berkata dokumen sementara KPPK09 atau KPPK11 boleh dikeluarkan kepada pemohon, manakala bagi permohonan mengemaskini alamat di dalam cip kad pengenalan, cetakan maklumat cip akan dikeluarkan kepada pemohon selepas cip selesai dikemaskini.
-- BERNAMA |
|
Last Updated ( Friday, 18 January 2008 )
|