|
Kios Pintar KWSP Kini Dibuka Di IJN. |
|
Friday, 21 September 2007 |
KUALA LUMPUR, 20 Sept (Bernama) -- Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) telah mewujudkan Kios Pintar terbarunya yang ditempatkan di Institut Jantung Negara (IJN) sejak 6 Julai lepas bagi membolehkan pencarum mendapatkan penyata akaun mereka dengan cepat.
Ketua Bahagian Perkhidmatan KWSP Hizwani Hassan berkata usahasama KWSP dan IJN itu bertujuan memudahkan pencarum KWSP yang ingin membuat Pengeluaran Kesihatan bagi menampung kos perubatan mereka.
"Kios Pintar ini membolehkan ahli menyemak akaun mereka tanpa perlu hadir ke pejabat KWSP," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Hizwani berkata sejak dilancarkan, sejumlah 2,087 penyata akaun telah dicetak melalui Kios Pintar di IJN.
Menggunakan teknologi cip pintar MyKad, Kios Pintar itu membolehkan pencarum mendapatkan penyata akaun mereka dalam tempoh kurang seminit, jika cap jari ahli dan maklumat dalam MyKad berpadanan, katanya.
"Sistem layan diri di Kios Pintar juga terbukti berkesan dan menjimatkan masa kerana ahli tidak perlu beratur di kaunter perkhidmatan KWSP," katanya.
Hizwani berkata setakat ini sebanyak 75 Kios Pintar telah beroperasi di 44 cawangan KWSP di seluruh negara dan bilangan itu akan bertambah selaras dengan peningkatan penggunaannya.
Beliau berkata sepanjang enam bulan pertama tahun ini, jumlah pencarum yang menggunakan Kios Pintar telah meningkat kepada 1.7 juta, naik lebih 11 kali ganda berbanding 140,000 pada tempoh yang sama tahun lepas.
"Kios pintar ini mendapat sambutan yang menggalakkan daripada ahli KWSP berdasarkan bilangan pengguna yang meningkat secara mendadak. Ini dengan jelas membuktikan keberkesanan strategi KWSP menyerapkan penggunaan ICT dalam penyampaian perkhidmatannya," katanya.
Kios Pintar itu merupakan satu lagi alternatif bagi membantu pencarum mendapatkan perkhidmatan KWSP dengan mudah, kata Hizwani yang menambah jumlah kios itu akan ditambah di beberapa lokasi strategik lain dari semasa ke semasa.
-- BERNAMA |
|
Last Updated ( Friday, 18 January 2008 )
|