|
Syor caj masuk bandar raya dibincang lanjut. |
|
Monday, 24 September 2007 |
KUALA LUMPUR, 24 Sept (Berita Harian) -- Kementerian Wilayah Persekutuan akan mengadakan perbincangan lanjut selepas menerima laporan caj masuk kenderaan ke ibu negara daripada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) sebelum membentangkan kertas cadangan kepada Jawatankuasa Khas Kabinet Mengenai Pengangkutan Awam.
Menterinya, Datuk Seri Zulhasnan Rafique, berkata cadangan mengenakan caj bagi kenderaan yang mahu memasuki pusat bandar raya pada waktu puncak itu antara alternatif masih diperhalusi DBKL untuk menangani masalah kesesakan yang semakin meruncing.
Beliau berkata, proses berkenaan memerlukan masa untuk direalisasikan kerana perlu mendapatkan pandangan pelbagai pihak termasuk pengguna serta memastikan pelaksanaan sistem itu bersifat mesra rakyat.
“Kita perlu menunggu laporan terperinci DBKL sebelum mesyuarat peringkat Kementerian Wilayah Persekutuan. Kemudian resolusi dengan kertas cadangan pelaksanaan akan dibentangkan kepada Jawatankuasa Khas Kabinet yang dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri.
“Pandangan semua pihak diambil kira dan jawatankuasa ini turut dianggotai kementerian lain dan wakil agensi kerajaan. Selepas pembentangan barulah keputusan dapat diambil,” katanya selepas meninjau persiapan sambutan Nur Ramadan 2007 di Masjid Muazd Bin Jabal, Taman Setiawangsa, di sini, semalam.
Zulhasnan berkata demikian bagi mengulas hasrat Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Ab Hakim Borhan yang ingin berbincang dengan kementeriannya untuk memperhalusi cadangan mengenakan caj kepada semua kenderaan yang masuk ke ibu negara pada waktu puncak.
Katanya, DBKL juga memaklumkan sedang menjalankan kajian berhubung perkara berkenaan di Stockholm dan London. |
|
Last Updated ( Friday, 18 January 2008 )
|