|
Prestasi PBT dinilai guna bintang. |
|
Wednesday, 03 October 2007 |
PUTRAJAYA 2 Okt (Utusan Malaysia) -- Prestasi dan kecekapan pihak berkuasa tempatan (PBT) akan dinilai menerusi sistem penggredan mulai tahun depan selaras dengan hasrat kerajaan untuk meningkatkan lagi sistem penyampaian perkhidmatannya.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, sistem itu akan dilaksanakan di semua majlis bandar raya dan majlis daerah mulai suku kedua 2008 bagi menetapkan prestasi PBT berdasarkan pemberian taraf bintang antara satu dan lima.
“Mana-mana PBT yang didapati kemampuan atau prestasinya rendah akan diberi perhatian oleh pihak berkuasa di peringkat negeri dan pusat melalui Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan untuk memperbaiki prestasinya,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Negara Kerajaan Tempatan ke-59 di sini hari ini.
Tahap prestasi dan kecekapan PBT berkenaan akan dinilai setiap dua tahun oleh sebuah panel khas yang mengambil kira aspek kepimpinan dan pentadbiran sebanyak 20 peratus, pengurusan kewangan dan hasil (10), bina upaya dan pembangunan sumber manusia (20), pelaksanaan undang-undang, dasar-dasar kerajaan, peraturan dan garis panduan (25), perkhidmatan komuniti dan masyarakat (10), perkhidmatan pelanggan (10) dan program ICT dan laman web (5).
Najib berkata, untuk memperoleh taraf lima bintang, sesuatu PBT perlu mendapat antara 90 dan 100 markah, empat bintang (75-89), tiga bintang (60-74), dua bintang (46-59) dan satu bintang (45 dan ke bawah).
Beliau berkata, PBT yang memperoleh satu bintang perlu melakukan penambahbaikan dan satu pasukan akan dihantar untuk mengkaji punca kelemahan pentadbirannya.
Najib juga berkata, untuk mempercepatkan permulaan perniagaan, lesen perniagaan dan lesen komposit hotel akan diperluaskan penggunaannya bagi membolehkan pengusaha hotel atau peniaga memulakan perniagaan sebaik sahaja permohonan dan pembayaran dibuat setelah semua syarat dipatuhi.
Katanya, tempoh sah laku lesen perniagaan dipanjangkan sehingga tiga tahun.
Beliau berkata, majlis bersetuju bahawa kelonggaran syarat kebombaan boleh dipertimbangkan untuk pengusaha hotel bajet tanpa melibatkan penambahan risiko daripada segi keselamatan.
“Ini mengambil kira kewujudan hotel-hotel bajet yang lama dan baru ada keperluannya memandangkan sektor pelancongan merupakan satu sektor yang penting kepada negara,” kata Najib.
Katanya, mesyuarat turut bersetuju supaya penambahbaikan sistem papan tanda di jalan-jalan di negara ini diperkenalkan kerana sistem yang ada sekarang didapati mengelirukan, tidak jelas dan kadangkala ditulis dengan huruf kecil atau diletak di tempat yang tidak sesuai.
“Satu sistem lebih teratur dan sistematik serta lebih mudah difahami akan diperkenalkan di seluruh negara secara berperingkat-peringkat,” kata Najib.
Ketika ditanya sama ada kabinet telah membincangkan mengenai kenaikan tol bagi lapan lebuh raya pada 1 Jan tahun depan, beliau berkata isu itu tidak dibangkitkan.-Bernama |
|
Last Updated ( Friday, 18 January 2008 )
|