|
Pejabat Pos Mini Bagi Kawasan Lebih 10 Ribu Penduduk. |
|
Tuesday, 30 October 2007 |
KUALA LUMPUR, 29 Okt (Bernama) -- Pejabat pos mini berkomputer boleh ditubuhkan jika sesebuah kawasan itu mempunyai antara 10,000 dan 25,000 penduduk, kata Timbalan Menteri Tenaga, Air dan Komunikasi, Datuk Shaziman Abu Mansor.
Beliau berkata pejabat pos mini itu juga perlu terletak lebih lima kilometer daripada pejabat pos terdekat.
"Saya pasti jika faktor ini dipenuhi, PMB (Pos Malaysia Berhad) boleh menyediakan perkhidmatan pejabat pos mini berkomputer di kawasan berkenaan," katanya menjawab soalan Fong Po Kuan (DAP-Batu Gajah).
Shaziman berkata pejabat pos mini berkomputer mampu menyediakan semua perkhidmatan pos, kecuali perkhidmatan sampingan berhubung Jabatan Pengangkutan Jalan dan Amanah Saham Nasional.
PMB kini sedang berusaha untuk meningkatkan kemudahan perkhidmatan komputer di pejabat pos di seluruh negara bagi meningkatkan mutu perkhidmatan, kata beliau.
Sehingga kini, 669 daripada 671 atau 91 peratus pejabat pos di seluruh negara telah dilengkapi sistem komputer, begitu juga dengan 256 daripada 315 pejabat pos mini.
Menjawab soalan Datuk Yap Pian Hon (BN-Serdang), Shaziman berkata PMB sedang berusaha untuk meningkatkan kualiti sistem poskod sedia ada. |
|
Last Updated ( Friday, 18 January 2008 )
|