|
KMK Versi Baru Bakal Diperkenal. |
|
Tuesday, 30 October 2007 |
KOTA BAHARU, 30 Okt (Bernama) -- Kumpulan Meningkatkan Mutu Kerja (KMK) versi baru akan diperkenalkan bagi memberi tumpuan kepada idea, pembelajaran, perkongsian ilmu dan penciptaan nilai menerusi strategi penyelesaian masalah yang lebih berkesan dan teknik analisis yang terkini, kata Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Sidek Hassan.
Beliau berkata KMK versi baru itu diperkenalkan bagi mengubah persepsi kononnya penyertaan dalam KMK adalah sebagai satu pertandingan semata-mata.
"Sesuatu perlu dilakukan untuk meningkatkan kewajaran KMK supaya dapat memberi impak yang signifikan kepada perkhidmatan awam dan juga orang ramai," katanya ketika berucap pada majlis Penyampaian Anugerah Konvensyen KMK Kebangsaan Ke-24 dan Anugerah Inovasi Perkhidmatan Awam 2007 di sini malam tadi.
Mohd Sidek turut mencadangkan KMK memberi perhatian utama kepada penerapan ilmu dan kreativiti dalam kalangan pihak pengurusan dan pekerja bagi membolehkan organisasi menghasilkan nilai tambah.
"Dengan itu impak dan sumbangan KMK terhadap pertumbuhan dan pengukuhan ekonomi negara akan lebih berjaya," katanya.
Beliau berkata usaha sedang giat dilaksanakan untuk membentuk jentera pentadbiran kerajaan yang kemas, cekap dan sistematik.
Mohd Sidek berkata persekitaran yang kondusif juga akan menarik minat pihak swasta untuk membuat lebih banyak pelaburan yang akan memesatkan lagi pertumbuhan ekonomi negara.
Kumpulan Wibawa dari Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan kumpulan Juang dari Selangor memenangi Anugerah Ketua Setiausaha Negara masing-masingnya bagi kategori pengurusan dan teknikal.
Kedua-dua kumpulan itu memperoleh wang tunai RM5,000, piala pusingan, piala iringan dan sijil.
--BERNAMA |
|
Last Updated ( Friday, 18 January 2008 )
|