|
Abdullah Mahu Kakitangan Kerajaan Tumpu Isu Perkhidmatan Awam Dalam Perhimpunan Agung Umno. |
|
Monday, 05 November 2007 |
PUTRAJAYA, 5 Nov (Bernama) -- Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi meminta kakitangan kerajaan mengambil perhatian perkara-perkara yang berkaitan dengan pembangunan negara dan perkhidmatan awam yang dibangkitkan dalam Perhimpunan Agung Umno yang bermula hari ini.
"Kita semua terutama di Jabatan Perdana Menteri, biasanya kita nak dengar apa yang dicakapkan, daripada parti kerajaan," katanya ketika berucap pada perhimpunan bulanan JPM di sini.
Perdana Menteri berkata jikapun ada daripada kalangan 2,522 anggota perwakilan ke Perhimpunan Agung Umno itu bercakap mengenai perkhidmatan awam, mereka bukannya mahu mencaci atau mengeji kakitangan kerajaan.
"Mereka hanya sekadar melahirkan perasaan tentang beberapa perkara, atau mungkin (juga) tidak ada apa-apa yang hendak dilahirkan langsung," kata Abdullah yang juga Presiden Umno.
Beliau turut melahirkan rasa puas hati dengan peningkatan kecekapan perkhidmatan awam berikutan beberapa pendekatan baru yang telah diambil seperti penubuhan pusat sehenti untuk mempercepatkan pemprosesan permohonan.
Abdullah juga berkata insentif yang diberikan melalui kenaikan gaji kepada kakitangan awam baru-baru ini adalah sebagai langkah untuk menarik dan mengekalkan petugas yang terbaik di dalam sektor awam.
"Kita nak supaya yang terbaik kekal dengan kita dan tidak memilih separuh jalan dengan pergi ke tempat lain kerana rasa sesuatu yang tidak baik atau sesuatu yang tidak memberi harapan kepadanya pada masa depan.
"Kita juga mahu sesiapa yang mahu berkhidmat dalam perkhidmatan awam adalah yang benar-benar ingin berkhidmat dengan kerajaan dan akan dapat kekal dalam sektor awam," katanya.
Perdana Menteri berkata kakitangan yang lama berkhidmat dengan kerajaan tentulah semakin bernilai dan menjadi aset yang begitu penting kepada kerajaan.
"Kita beri ganjaran kepada yang terbaik tanpa mengira kaum dan agama kerana semua yang ada dalam perkhidmatan awam adalah semuanya bersaudara, semuanya adalah rakan-rakan yang bekerjasama bagi membantu menjayakan matlamat bersama supaya nanti kebaikan jabatan juga akan menjadi sesuatu yang mengharumkan nama anda dan memberi nama baik kepada anda sekalian.
"Inilah harapan kita dan berharap semuanya akan berjalan dengan baik," kata Abdullah.
-- BERNAMA |
|
Last Updated ( Friday, 18 January 2008 )
|