|
Selangor Mula Keluar Lesen Perniagaan Serta Merta Tahun Depan. |
|
Tuesday, 13 November 2007 |
SHAH ALAM, 12 Nov (Bernama) -- Kerajaan Selangor akan mengeluarkan lesen perniagaan secara serta merta di peringkat pihak berkuasa tempatan (PBT) mulai tahun depan, kata Menteri Besar Datuk Seri Dr Mohamad Khir Toyo.
Bagaimanapun, beliau mengingatkan peniaga bahawa kemudahan ini bukan bermakna kerajaan negeri akan lepas tangan dan membiarkan mereka tidak mematuhi syarat-syarat pelesenan kerana akan ada pegawai penguatkuasa pelesenan memeriksa premis mereka sepanjang tahun.
Beliau berkata demikian selepas Majlis Penganugerahan Sempena Bulan Kualiti 2007 Pentadbiran Kerajaan Selangor di sini hari ini.
Khir berkata, "Sekarang ini lesen dikeluarkan mungkin dalam masa tiga hari dan ini melambatkan. Bagi saya lesen perniagaan perlu dikeluarkan serta merta dan ini arahan yang perlu diikut oleh semua PBT dan kemudian pemeriksaan hendaklah dibuat dari masa ke semasa."
Beliau berkata dengan penubuhan pasukan penguatkuasa pelesenan di peringkat PBT, lesen-lesen perniagaan dapat dikeluarkan serta merta kerana ada mekanisma pemantauan pematuhan peniaga ke atas syarat-syarat lesen yang dikeluarkan.
"Penguatkuasa kita akan melatih pegawai-pegawai ini mulai tahun depan dan kita akan latih mereka menjurus kepada bagaimana untuk menguatkuasakan peraturan dan juga syarat-syarat pelesenan yang ada di jabatan masing-masing," kata beliau lagi.
Pengeluaran lesen secara serta merta ialah bagi membendung amalan sesetengah peniaga yang berniaga dulu beberapa bulan dan mengubahsuai premis perniagaan mereka, baru memohon lesen perniagaan, katanya.
--- BERNAMA |
|
Last Updated ( Friday, 18 January 2008 )
|