e-Penguatkuasaan pantau had laju.
Friday, 16 November 2007
JOHOR BAHRU 15 Nov (Utusan Malaysia) -- Kerajaan bercadang memperkenalkan sistem penguatkuasaan elektronik (e-Penguatkuasaan) menerusi Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) bagi mempertingkatkan keberkesanan program penguatkuasaan undang-undang trafik yang dijangka bermula pada awal tahun depan. Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Chan Kong Choy berkata, sistem tersebut akan digunakan bersama dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam usaha mengurangkan kadar kemalangan dan kematian akibat kemalangan jalan raya.

Menurutnya, dengan menggunakan sistem tersebut, kebarangkalian seseorang pengguna jalan ditangkap atas kesalahan trafik meningkat daripada kadar 16 hingga 25 peratus kepada 95 peratus iaitu setaraf dengan amalan terbaik negara-negara maju.

‘‘Pada masa kini sistem berkamera telah digunakan di sekitar bandar raya dan majlis bandaran seperti di kawasan Lembah Klang dengan 255 kamera dipasang bagi memantau keadaan lalu lintas dan penguatkuasaan terhadap kesalahan trafik.

‘‘Sistem itu yang dipertanggungjawabkan kepada JPJ kini dalam proses akhir untuk diperkenalkan,” kata Kong Choy pada majlis perasmian Mesyuarat Agung Tahunan ke-48 Majlis Keselamatan Jalan Raya (MKJR) di sini hari ini.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Pengangkutan, Datuk Zakaria Bahari.

Kong Choy berkata, penguatkuasaan menggunakan kamera bagi mengesan pesalah trafik juga telah dilaksanakan oleh PDRM di persimpangan lampu isyarat di sekitar bandar-bandar utama seperti Shah Alam, Johor Bahru, Petaling Jaya, Melaka dan Pulau Pinang.

Sehubungan itu, beliau berharap sistem tersebut mampu mencapai sasaran pengurangan bilangan kematian dengan kadar 58 peratus menjelang tahun 2010.

Sementara itu, Pengarah Penguat Kuasa JPJ, Salim Parlan berkata, bagi fasa pertama sistem E-Penguatkuasaan, JPJ memberi tumpuan kepada dua kesalahan iaitu memandu melebihi had kelajuan dan tidak mematuhi lampu isyarat.

Menurutnya, pada fasa pertama itu kesemua laluan Lebuh Raya Utara-Selatan dan semua lampu isyarat di Shah Alam akan dipasang perangkap kelajuan.

‘‘Fasa kedua pelaksanaan sistem itu akan membabitkan seluruh negeri di Malaysia bagi dua kesalahan tersebut manakala fasa ketiga pula akan meningkatkan keupayaan sistem berkenaan untuk menguatkuasakan pengesanan 10 kesalahan lagi.

‘‘Lebih 1,000 kamera akan dipasang di seluruh negara bagi melaksanakan sistem tersebut. Untuk tahun depan, kira-kira 100 kamera akan dipasangkan di Lebuh Raya Utara-Selatan,” ujarnya.
Last Updated ( Friday, 18 January 2008 )
 

Pengumuman



 Selamat Datang ke

        Portal eKL

    

MyGov Info
Satu saluran Info Agensi Kerajaan...

Soal Selidik MyBayar
Pandangan anda mengenai pembayaran elektronik kerajaan

Direktori Perkhidmatan
Direktori Perkhidmatan Online Agensi Kerajaan 

Kliklah Siri 4
Perkhidmatan IPT !!! 




    ARTICLES

RSS eKL

PENAFIAN:Kerajaan Malaysia tidak bertanggungjawab terhadap sebarang kehilangan atau kerosakan yang dialami kerana menggunakan maklumat dalam laman ini.

Paparan terbaik menggunakan browser Internet Explorer 7.0 dan Mozilla Firefox

Dasar Privasi | Dasar Keselamatan