Derma masjid secara online.
Friday, 23 November 2007

(Harian Metro) -- MENDERMA bukan sekadar menambah pahala tetapi dapat membantu golongan kurang bernasib baik dan ia dapat dilakukan dalam pelbagai cara.Biasanya, kita menderma pada hari tertentu seperti Jumaat atau Ramadan ke dalam peti derma.

Kini, dengan kecanggihan teknologi, penciptaan vendor bermesin yang digelar kiosk elektronik membolehkan umat Islam melaksanakan ibadah sunat itu di masjid dengan hanya satu lungsuran kad mesin juruwang automatik (ATM) atau kad kredit.

Keupayaan vendor berteknologi tinggi sudah bertapak lama di Malaysia yang digunakan untuk pelbagai tujuan termasuk urusan perbankan, pembayaran bil dan pembelian kad tambah nilai prabayar telefon bimbit seperti yang dilakukan Pos Malaysia Bhd (PMB) tahun lalu.

Selain menambah nilai prabayar, pelanggan boleh menikmati kemudahan lain di pejabat pos sebagai pusat sehenti kerana PMB menyediakan khidmat kaunter mewakili 125 penyedia khidmat dari sektor awam dan swasta serta PosLaju, PosMel, PosNiaga, PosLogistik, setem dan filateli, bayaran insurans dan pembaharuan lesen memandu ketika itu.

Dua tahun lalu, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mengorak langkah memperkenalkan sistem sama untuk manfaat lebih 500,000 pencarum, dijangka mampu memenuhi keperluan lima juta anggota lain yang masih aktif.

Sebanyak 13 pejabat KWSP negeri dan 28 KWSP cawangan dilengkapkan dengan sistem bergelar E-Kiosk dan semuanya merekodkan penggunaan yang menggalakkan.

Rekod menunjukkan Selangor mencatatkan jumlah pengguna paling tinggi iaitu 110,000 orang, diikuti Kuala Lumpur (90,000), Johor (75,000) dan Pulau Pinang (60,000).

Kiosk lama wujud di dunia ini, perkataannya digunakan sejak zaman berzaman di Perancis (Kiosque), Jerman (Kiosk), Portugal (Quiosque), Romania (Chiosc dan Sepanyol (Kiosco) membawa maksud kecil dan selalunya berbentuk poligon.

Kiosk elektronik adalah terminal komputer yang menggunakan perisian direka khusus untuk beroperasi menggunakan landasan tertentu bagi menyediakan perkhidmatan secara setempat atau disambungkan melalui rangkaian komputer utama.

Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) akan memasang kiosk Maju Masjid Ekspres eDerma iaitu kemudahan menderma menggunakan ATM di 63 masjid utama di ibu negara menjelang akhir tahun depan.

Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi), Datuk Che Mat Che Ali, berkata Malaysia adalah negara pertama memperkenalkan eDerma menerusi kiosk khas bagi membolehkan orang ramai menderma menggunakan potongan daripada kad ATM sama ada untuk mengisi tabung masjid, tabung anak yatim, tabung kebajikan, tabung madrasah dan tabung pengubahsuaian masjid.

Beliau berkata, pemasangan secara berperingkat itu akan dijalankan di Kuala Lumpur sebagai perintis dan disusuli masjid di Selangor sebelum konsep sama diperkenalkan ke seluruh negara.

“Setakat ini kita mengenal pasti 63 masjid di Wilayah Persekutuan yang akan dilengkapkan dengan kiosk eDerma, namun buat permulaannya kita pasang dulu 20 buah di sini manakala di Selangor ada 480 masjid yang akan dipasangkan sistem serupa.

“Buat masa ini kita menyediakan kemudahan membayar zakat, fidyah dan wakaf menerusi kiosk ini. Bagaimanapun, penggunaannya dijangka ditingkatkan dalam tempoh terdekat apabila orang ramai boleh menggunakan untuk bayaran bil semasa dan setempat.

“Usaha ini dihasilkan sepenuhnya anak tempatan dan dijayakan berasaskan ilham Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, yang mahu masjid bukan sekadar tempat beribadat malah dijadikan pusat penjanaan ekonomi masyarakat," katanya.

Antara masjid yang terbabit dalam projek perintis ini ialah Masjid Jamek Kampung Baru, Masjid Muadz Bin Jabal, Taman Setiawangsa dan Masjid Imam Ash-Syafie, Taman Maluri manakala tiga lagi masjid, Masjid Asy-Syakirin, KLCC; Masjid Saidina Abu Bakar, Bangsar serta Masjid Saidina Othman akan dilengkapi kios itu akhir tahun ini.

Kiosk eDerma adalah konsep menyalurkan sumbangan menggunakan teknologi terkini dengan mempelbagaikan kaedah menderma sama ada secara tunai, cek, kad ATM, Meps serta kad kredit yang akan diperkembangkan untuk bayaran bil setempat dan pihak berkuasa tempatan.

Kebanyakan kiosk membekalkan perkhidmatan sosial secara percuma seperti maklumat kepada pelancong asing dan seperti dapat disaksikan di atas iaitu untuk tujuan komersil.

Tambahan pula, ia diperkemas dengan kebolehan skrin peka sentuhan, tetikus dan papan kekunci membolehkannya beroperasi secara interaktif dengan pengguna berkemampuan mencari serta memberi maklum balas kepada operator.

Kini, ia disepadukan dengan fungsi transaksi secara ‘online’ atau jual beli yang dilengkapi pembekal syiling, penerima bil, pembaca kad dan pencetak sebagai bukti transaksi.

Kiosk interaktif layan diri pertama dibangunkan pada 1977 di Universiti Illinois oleh pelajar universiti terbabit, Murray Lappe yang menjadikan sistem komputer Plato sebagai kandungan yang boleh diakses menggunakan antaramuka di atas skrin peka sentuhan plasma.

Ciptaan Lappe diperluaskan ke seluruh universiti.

Buat pertama kali penciptaannya, lebih 30,000 pelajar, tenaga pengajar dan pelawat beratur panjang selama enam minggu untuk merasai pengalaman pertama kali ‘komputer peribadi’ itu.

Kepada umat Islam, ia satu langkah maju ke depan dalam proses menggalakkan budaya menderma di kalangan masyarakat.

eDerma mampu memberikan sumber kewangan yang lebih kepada masjid atau surau apabila pengunjung menderma dengan ahli jawatankuasa dapat memahami teknologi dengan lebih terbuka.

Mungkin ia akan diperluaskan sebagai sumber maklumat seperti penyemakan hadis atau ayat al-Quran untuk saluran masyarakat secara interaktif.

Konsep menderma secara online ini dapat mempelbagaikan kaedah menghulurkan tunai, cek, kad bank dan kad kredit Visa atau MasterCard.

Kiosk seperti ini membantu transaksi secara maya. Ia memberi kelebihan kepada masjid itu sendiri seperti mengelakkan berlakunya jenayah curi membabitkan tabung masjid.

Teknologi banyak membantu kehidupan manusia dan secara tidak langsung banyak pihak mendapat manfaat jika ia digunakan dengan cara paling berhemah serta bertanggungjawab.

Peluasan eDerma mungkin patut disebarkan ke surau atau tempat pedalaman dengan syarat masyarakat perlu difahamkan mengenainya dan bersedia untuk menerima teknologi bagi aplikasi seharian.

Last Updated ( Friday, 18 January 2008 )
 

Pengumuman



 Selamat Datang ke

        Portal eKL

    

MyGov Info
Satu saluran Info Agensi Kerajaan...

Soal Selidik MyBayar
Pandangan anda mengenai pembayaran elektronik kerajaan

Direktori Perkhidmatan
Direktori Perkhidmatan Online Agensi Kerajaan 

Kliklah Siri 4
Perkhidmatan IPT !!! 



  
MAMPU Director-
General

The WITSA Global ICT
Excellence Awards are held
every two years, in connection
with WITSA’s premier event;
the World Congress on IT.
MyGovernment Portal Wins
Global ICT Award - More Info


    ARTICLES

RSS eKL

PENAFIAN:Kerajaan Malaysia tidak bertanggungjawab terhadap sebarang kehilangan atau kerosakan yang dialami kerana menggunakan maklumat dalam laman ini.

Paparan terbaik menggunakan browser Internet Explorer 7.0 dan Mozilla Firefox

Dasar Privasi | Dasar Keselamatan