Tempoh dapatkan i-KAD hingga Ogos tahun depan.
Thursday, 29 November 2007
PUTRAJAYA, 29 Nov (Berita Harian) -- Jabatan Imigresen memberi tempoh sehingga Ogos tahun depan kepada lebih dua juta pekerja asing di negara ini mendapatkan i-KAD atau berdepan risiko ditahan jika gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri.

Ketua Pengarahnya, Datuk Wahid Md Don, berkata i-KAD yang diperkenalkan sejak Mei lalu itu berfungsi sebagai kad identiti untuk kemudahan pekerja asing yang tidak perlu lagi membawa pasport sebagai bukti pengenalan diri. “i-KAD ini dilengkapi ciri keselamatan tinggi seperti cip Alat Pengenalan Frekuensi Radio (RFID) bagi kemudahan pemilik menyemak dan memperbaharui visa.

“Ia juga memudahkan pegawai penguatkuasa menjalankan semakan dan pemeriksaan kerana mereka tidak perlu lagi membawa mesin pembaca khas untuk melihat data dalam i-KAD kerana ia boleh dilakukan dengan menghantar khidmat pesanan ringkas (SMS) menerusi telefon bimbit biasa," katanya pada sidang media di pejabatnya di sini, semalam.

i-KAD yang mempunyai 17 ciri keselamatan sukar dipalsukan kerana dilengkapi sistem 'ghost image' bagi gambar, teks mikro dan logo yang hanya boleh dilihat di bawah cahaya ultra ungu; peta Malaysia pada lapisan atas dan cetakan teks menggunakan laser.

Selain itu, i-KAD dicetak dalam pelbagai warna bagi membezakan sektor pekerjaan iaitu pegawai dagang memegang i-KAD berwarna emas, isteri atau suami pegawai dagang (emas berbelang merah), pemegang pas lawatan kerja sementara (biru); program My Second Home (perak); pembantu rumah (ungu); perladangan (merah berbelang kuning); sektor-sektor lain (merah) dan pas pelajar (hijau).

Wahid berkata, proses pendaftaran kini bertumpu kepada pelajar asing dan pegawai dagang sebelum diteruskan secara berperingkat ke sektor lain.

“Kerajaan memutuskan tidak mengenakan bayaran bagi permohonan pertama i-KAD, tetapi jika berlaku kehilangan, pemiliknya akan dikenakan bayaran pada kadar yang akan ditentukan kelak," katanya.

Sementara itu, mengulas mengenai proses pendaftaran pelajar asing yang dilaksanakan sejak Mei lalu, Wahid berkata, sebanyak 26,016 daripada 36,872 pelajar sudah didaftarkan.

"Setakat ini, sebanyak 23,687 i-KAD sudah siap dicetak dan daripada jumlah itu sebanyak 20,399 sudah diserahkan kepada pelajar asing terbabit," katanya.

Dalam perkembangan sama, Wahid berkata, beliau kesal dengan sikap kolej swasta yang enggan bekerjasama untuk mendaftarkan pelajar di kolej masing-masing dengan memberikan pelbagai alasan seperti pelajar bercuti dan musim peperiksaan.

"Masalah itu menyebabkan kita gagal mencapai sasaran ditetapkan iaitu untuk mendaftar, mencetak dan menyerahkan i-KAD kepada semua pelajar asing menjelang 14 Disember ini.

"Ada sesetengah kolej kita sudah pergi tiga kali namun gagal mendaftarkan semua pelajar mereka, ini membantutkan hasrat kami menyerahkan i-KAD kepada semua pelajar asing menjelang 14 Disember," katanya.

Wahid berkata, ada kolej mahu jabatan menangguhkan proses pendaftaran sehingga Mac depan kerana pelajar bercuti panjang.

"Kita harap semua kolej swasta memberikan kerjasama sepenuhnya dengan memaklumkan kepada pelajar mereka setiap kali pegawai datang untuk membuat pendaftaran," katanya.
Last Updated ( Thursday, 29 November 2007 )
 

Pengumuman



 Selamat Datang ke

        Portal eKL

    

MyGov Info
Satu saluran Info Agensi Kerajaan...

Soal Selidik MyBayar
Pandangan anda mengenai pembayaran elektronik kerajaan

Direktori Perkhidmatan
Direktori Perkhidmatan Online Agensi Kerajaan 

Kliklah Siri 4
Perkhidmatan IPT !!! 




    ARTICLES

RSS eKL

PENAFIAN:Kerajaan Malaysia tidak bertanggungjawab terhadap sebarang kehilangan atau kerosakan yang dialami kerana menggunakan maklumat dalam laman ini.

Paparan terbaik menggunakan browser Internet Explorer 7.0 dan Mozilla Firefox

Dasar Privasi | Dasar Keselamatan