Tujuan suruhanjaya koperasi diwujudkan.
Monday, 03 December 2007

3 Dis (Berita Harian) -- Pastikan kepentingan anggota terjamin, agihan secara adil.

BAGI memastikan sektor koperasi terus kukuh dan dapat memainkan peranan dalam menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi dan kesejahteraan rakyat, Jabatan Pembangunan Koperasi Malaysia (JPK) dan Bank Negara mengadakan kajian mendalam bagi menubuhkan Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) sejak 2004.

Kajian itu bertujuan mewujudkan agensi yang mantap dalam menangani permasalahan yang berlaku dalam sektor koperasi. Pada 2 Mac 2005, Kabinet meluluskan cadangan penubuhan SKM bagi menggantikan JPK dan diluluskan oleh Parlimen pada 25 April 2005.

Objektif penubuhan SKM adalah untuk memastikan kedudukan kewangan dan operasi koperasi kukuh dan selamat, memastikan kestabilan dalam sektor koperasi, menyediakan persekitaran yang kondusif untuk koperasi menjalankan aktiviti dan memastikan pembangunan sektor koperasi terancang dan mapan.

Antara tugas utama SKM ialah menetapkan garis panduan khusus bagi memastikan pengendalian sesebuah koperasi tidak menyimpang daripada objektif asal penubuhannya.

Penggubahan Rang Undang-Undang Suruhanjaya Koperasi Malaysia dan Pindaan semua akta berkaitan memberi kuasa kepada SKM untuk memastikan kepentingan ahli koperasi serta pengagihan keuntungan dilakukan secara adil.

Berikutan itu, operasi SKM dikawal selia oleh Lembaga Pengarah terdiri daripada wakil kerajaan, koperasi dan swasta yang profesional dan berpengalaman.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, dalam taklimat penerangan mengenai SKM, menjelaskan bahawa SKM diberi kuasa memantau operasi semua koperasi termasuk mewajibkan semua pemindahan dana, modal atau aset dilaporkan kepada suruhanjaya itu selain mempunyai kuasa mengenakan hukuman berbentuk penalti terhadap sebarang salah laku.

"Suruhanjaya ini juga bertanggungjawab terhadap semua urusan termasuk perkembangan koperasi pertanian dan perikanan," katanya sambil memberi jaminan bahawa SKM yang mula beroperasi pada 1 Januari depan mampu memberi manfaat kepada koperasi dan ahli sehingga peringkat akar umbi.

Mohamed Khaled berkata, SKM juga ditubuhkan bagi menggalakkan lebih ramai masyarakat menyertai koperasi dan merealisasikan hasrat kerajaan untuk melahirkan lebih ramai masyarakat perdagangan dan industri Bumiputera terutama di kalangan ahlinya.

"Selain itu, kita berharap masalah birokrasi membabitkan institusi kewangan yang dihadapi kebanyakan koperasi sebelum ini akan dapat diatasi apabila SKM bertindak sebagai penyalur pembiayaan pinjaman berkenaan.

"Kita juga berharap tidak timbul lagi anggota koperasi tidak membayar balik pinjaman kerana SKM akan memantau sepenuhnya selain koperasi boleh membuat pelaburan ke dalam syarikat perniagaan yang diusahakan anggotanya," katanya.

SKM juga akan mengambil alih tugas JPK dengan memperkenal dua dana bagi memperkasakan gerakan koperasi, selain membantu institusi itu menghadapi masalah kecairan modal serta turut menganjurkan program keusahawanan.

Menerusi pendekatan ini, Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MeCD) bukan saja dapat menaik taraf koperasi sedia ada tetapi menyediakan pelan pembangunan komprehensif, termasuk menjadi pembiaya pinjaman kecil kepada usahawan tempatan.

Kenapa perlu diwujudkan SKM?

Penubuhan SKM bagi menggantikan JPK bertujuan melahirkan sebuah gerakan koperasi yang lebih berwibawa dengan kuasa dan peranan yang lebih luas, fleksibel, mampu membuat keputusan dengan cepat serta mempunyai kakitangan yang mahir dalam pengurusan dana, pelaburan, perancangan strategik dan pengurusan kewangan.

Justeru, SKM mempunyai cabaran yang besar dan memerlukan sokongan semua pihak terutama badan koperasi yang membantu memainkan peranan sewajarnya dengan memberi sokongan dan kerjasama sepenuhnya terhadap usaha yang akan dijalankan bagi memperkukuhkan gerakan koperasi.

Dengan tertubuhnya SKM, kerajaan berkeyakinan matlamat untuk menjadikan koperasi sebagai satu entiti keusahawanan yang mendukung prinsip koperasi akan mampu menjana ekonomi negara dan pembangunan sosial akan dapat direalisasikan dengan lebih berjaya.

Penggubalan Rang Undang-Undang Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) bertujuan menggalakkan lebih ramai rakyat menyertai koperasi dan menerima manfaat kewujudannya selain memastikan semua koperasi memenuhi fungsi melahirkan lebih ramai masyarakat perdagangan dan industri Bumiputera terutama di kalangan anggotanya.

Penggubalan dan pindaan semua akta berkaitan juga memberi kuasa kepada SKM untuk memastikan kepentingan ahli koperasi serta pengagihan keuntungan dilakukan secara adil.

Selaras dengan itu, pindaan Akta Koperasi Malaysia menetapkan penubuhan koperasi hanya memerlukan 50 anggota berbanding 100 sebelum ini. Pindaan Rang Undang-Undang Bank Kerjasama Rakyat Malaysia juga dilakukan serentak penubuhan SKM sebagai pemangkin kepada pembaharuan yang akan diperkenalkan suruhanjaya itu.

SKM juga mengawal selia koperasi yang kini di bawah naungan Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) dan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) kerana ketika ini, koperasi di bawah LPP atau LKIM tidak dikawal selia JPK.

Langkah yang dilaksanakan ini membolehkan koperasi berkaitan pertanian akan lebih kukuh di bawah kawal selia SKM sekali gus memastikan pelaburan kerajaan dalam sektor pertanian

membawa keuntungan kepada petani dan nelayan.

SKM juga akan memastikan kestabilan koperasi yang kadang-kadang mengalami masalah kecairan hingga mengganggu perjalanannya.

Suruhanjaya itu juga mewujudkan Dana Mudah Tunai (CLF) dengan menetapkan semua koperasi menyumbang sejumlah tertentu wang dalam tabung berkenaan. Dengan dana ini, jika koperasi ada masalah kecairan, koperasi boleh meminjam daripada CLF sebagai jalan terakhir untuk mendapat bantuan.

Bagaimanapun, dana ini bukan untuk menyelamatkan koperasi bermasalah. Ketika ini, kalau koperasi yang hendak ditutup atau bermasalah, kerajaan bertanggungjawab secara ad hoc tetapi dengan ada SKM, ada dana untuk memberi kredit kepada koperasi bermasalah.

SKM juga akan menentukan keperluan untuk menyediakan peluang kepada koperasi mendapat pembiayaan dengan Akaun Deposit Koperasi (CDA). Dana CDA akan memerlukan semua koperasi mendeposit lebihan akaun dalam tabung itu dan bukannya memasukkan lebihan itu dalam akaun semasa yang tidak mendatangkan keuntungan.

Dengan kewujudan CDA dalam SKM, dana berpotensi yang boleh dikumpulkan ialah RM1 bilion, tidak termasuk dana Bank Kerjasama Rakyat Malaysia Berhad (Bank Rakyat) sebanyak RM4.6 bilion, menjadikan jumlah keseluruhan RM5.6 bilion.

Mohamed Khaled berkata, kewujudan SKM diperlukan bagi mengawal selia kegiatan koperasi tanpa khidmat orang tengah, memantapkan penguatkuasaan, memasarkan produk dan menyediakan kemudahan pembiayaan untuk memulakan atau membesarkan perniagaan.

Beliau berkata, operasi menyeluruh SKM akan mewujudkan kestabilan dan keseimbangan dalam sektor berkenaan sejajar dengan dasar pembangunan keusahawanan koperasi yang lebih efektif dengan menjadi penyumbang ketiga terbesar ekonomi negara.

"Fungsi utama suruhanjaya adalah memperkasa perkembangan sektor ini ke tahap maksimum. SKM akan menjadi pusat kepada keseluruhan operasi koperasi termasuk pembiayaan bagi mengembangkan atau memulakan perniagaan dan ia tidak hanya tertumpu kepada satu bidang.

"Dengan adanya SKM, koperasi berkaitan pertanian dan perikanan juga akan dapat diselia di bawah suruhanjaya ini. Peningkatan yang dilakukan ini diharap mampu mengubah tanggapan dulu yang mengatakan koperasi hanya sektor kebajikan sebaliknya menjana ekonomi bangsa dan negara.

"SKM akan mewujudkan kestabilan dan keseimbangan dalam sektor koperasi menerusi langkah penguatkuasaan berkala yang diatur selari dengan dasar pembangunan keusahawanan koperasi yang lebih tersusun.

"Kita tidak mahu koperasi menghadapi masalah seperti urus tadbir yang lemah atau gagal mematuhi syarat yang ditetapkan. SKM akan mempunyai lebih kuasa pengawasan dan penguatkuasaan yang kini dilaksanakan oleh JPK," katanya.

Dengan ini, perubahan JPK kepada SKM yang dijangka beroperasi sepenuhnya mulai awal tahun depan tidak seharusnya hanya sekadar 'bersalin kulit'.

Perubahan status dan tanggungjawab itu hendaklah diikuti dengan semangat kerja, azam dan perubahan minda bagi memastikan mutu perkhidmatan cekap dan berwibawa untuk menjaga kepentingan lebih lima juta ahli koperasi di seluruh negara.

Sebagai sebuah suruhanjaya yang penting kerana menjaga kepentingan ramai anggota, kakitangan SKM perlu memikirkan pendekatan berbeza yang efektif dalam pengawal seliaan.

Justeru, warga SKM mesti melengkapkan diri dengan pengetahuan baru dalam usaha membimbing dan memperkasakan koperasi. Ini penting supaya apabila JPK bertukar menjadi SKM nanti, ia benar-benar dapat mencapai matlamatnya (membangunkan koperasi) bukan sekadar bersalin kulit.

Last Updated ( Tuesday, 04 December 2007 )
 

Pengumuman



 Selamat Datang ke

        Portal eKL

    

MyGov Info
Satu saluran Info Agensi Kerajaan...

Soal Selidik MyBayar
Pandangan anda mengenai pembayaran elektronik kerajaan

Direktori Perkhidmatan
Direktori Perkhidmatan Online Agensi Kerajaan 

Kliklah Siri 4
Perkhidmatan IPT !!! 




    ARTICLES

RSS eKL

PENAFIAN:Kerajaan Malaysia tidak bertanggungjawab terhadap sebarang kehilangan atau kerosakan yang dialami kerana menggunakan maklumat dalam laman ini.

Paparan terbaik menggunakan browser Internet Explorer 7.0 dan Mozilla Firefox

Dasar Privasi | Dasar Keselamatan