|
Pembayar Cukai Digalak Guna Sistem E-Filing. |
|
Tuesday, 04 December 2007 |
KUALA LUMPUR, 3 Dis (Bernama) -- Pembayar cukai bagi tahun taksiran 2007 digalak menggunakan sistem e-Filing kerana ia dapat diproses dengan cepat dan memudahkan bayaran balik, kata Lembaga Hasil Dalam Negeri.
Menurut kenyataan lembaga itu, keselamatan maklumat yang diterima melalui sistem yang disediakan secara percuma itu juga terjamin.
Sistem e-Filing bagi mengemukakan borang BE dan B tahun taksiran 2007 akan disediakan oleh LHDN dan boleh digunakan mulai 15 Feb 2008, kata kenyataan itu.
LHDN yang mula mengeluarkan Borang Nyata Cukai Pendapatan Tahun Taksiran 2007 hari ini, berkata, proses pengeluaran borang itu dijangka selesai Februari depan dan pembayar cukai yang tidak mendapat borang itu perlu menunggu sehingga 15 Mac sebelum mengambil borang dari mana-mana cawangan LHDN.
Borang itu tidak akan dikeluarkan kepada pembayar cukai yang menggunakan sistem e-Filing Tahun Taksiran 2006 dan mereka yang mempunyai jumlah pendapatan kurang dari RM20,000 tahun lalu.
Tarikh akhir untuk menghantar borang itu adalah pada 30 April bagi Individu Pemastautin (Borang BE), Bukan Pemastautin (B), Harta Pusaka (TP), Pertubuhan (TF) dan Keluarga Sekutu Hindu (TJ) yang tiada punca pendapatan perniagaan, dan 30 Jun bagi kategori sama yang ada punca pendapatan perniagaan.
Bagi perkongsian (P) dan Majikan (E), tarikh tutup penghantaran masing-masing ialah pada 30 Jun dan 31 Mac.
-- BERNAMA |
|
Last Updated ( Tuesday, 04 December 2007 )
|