DBKL jangka belanja RM2.26b tahun depan.
Wednesday, 12 December 2007
KUALA LUMPUR, 12 Dis (Berita Harian) -- Pelbagai projek pembangunan pastikan warga kota nikmati hidup sejahtera, memakmurkan Kuala Lumpur. Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dijangka membelanjakan lebih RM2.26 bilion untuk mengurus dan melaksanakan pelbagai projek pembangunan bagi kemudahan warga kota, sepanjang tahun depan.

Ketika membentangkan Bajet 2008 DBKL, Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Ab Hakim Borhan, berkata RM1.25 bilion atau 51.1 peratus digunakan untuk bajet mengurus dan sebanyak RM1.2 bilion atau 48,9 peratus adalah (pembangunan).

“Program seperti menyediakan kemudahan infrastruktur, mewujudkan sistem rangkaian jalan raya yang komprehensif, meningkatkan tahap keselamatan, melaksanakan aktiviti pembangunan sosial dan menyediakan ruang perniagaan khusus untuk peniaga kecil akan dilaksanakan,” katanya.

Bajet 2008 yang bertemakan Memaju dan Mensejahterakan Kuala Lumpur itu menyaksikan pertambahan RM93.3 juta atau 3.9 peratus belanjawan berbanding Bajet tahun ini.

Daripada bajet yang sama, DBKL masih memberi keutamaan kepada kerja penyelenggaraan yang mana sebanyak RM501.9 juta (41.7 peratus) diperuntukkan bagi melaksanakan projek pembangunan meliputi pembinaan jalan raya, jalan raya sambungan dan jejambat di samping meningkatkan persimpangan bertingkat di ibu negara.

Sejumlah RM174 juta diperuntukkan untuk menyelesaikan masalah banjir secara menyeluruh di ibu negara. Antaranya, membina kolam takungan banjir, mempertingkatkan sistem perparitan serta menyelenggarakan sungai dan parit sedia ada.

Selaras dengan itu, RM380 juta diperuntukkan untuk melaksanakan projek pemulihan sungai iaitu di Sungai Klang dari Jalan Jelatek ke Masjid Jamek, selain RM2.5 juta diperuntukkan untuk projek pengindahan rizab sungai menggunakan konsep Masma di tebing Sungai Midah.

DBKL memperuntukkan RM121.5 juta untuk mempertingkat, menyelenggara dan membangunkan Kuala Lumpur sebagai gerbang masuk destinasi pelancongan dalam usaha menjadikan ibu negara sebagai destinasi pelancongan terunggul di rantau ini.

Contohnya di Dataran Merdeka dan bangunan sekitar dengan melaksanakan rangkaian pejalan kaki bersepadu menghubungkan Dataran Merdeka ke Masjid India seterusnya Kampung Baru ke Pasar Chow Kit.

“Menerusi projek ini RM50 juta diperuntukkan di mana sejumlah RM1 juta disediakan pada 2008 untuk melaksanakan kerja awalan di Jalan Raja Bot, Pasar Chow Kit.

“Sebanyak RM15 juta akan dibelanjakan untuk melaksanakan beberapa ikon baru iaitu pembangunan semula tapak Pasar Minggu, Kampung Baru, pembangunan semula kawasan penjaja di Jalan Raja Alang dan Jalan Raja Muda Musa,” katanya.

Sebanyak RM42 juta akan disediakan bagi menyediakan kemudahan lampu hiasan, lampu jalan dan lampu lorong di kawasan tertentu seperti segi tiga emas.

Katanya, DBKL juga menyediakan bajet RM95 juta untuk melaksanakan pelbagai projek rekreasi termasuk menyediakan taman rekreasi dan penyediaan kawasan hijau. Sejumlah RM5 juta diberikan untuk penanaman pelbagai spesis pokok di rizab kerajaan sedia ada seperti di rizab rail, sungai, infrastruktur dan utiliti, taman dan rizab jalan.

Meningkatkan aktiviti sosial di kalangan warga kota dijangka menelan belanja RM34.41 juta dengan penganjuran pelbagai aktiviti seperti sukan, kebudayaan, kesenian dan riadah.

“Disamping itu program Nadi iaitu mengadakan kelas bimbingan dan tuisyen kepada pelajar sekolah tingkatan tiga dan lima yang akan menduduki peperiksaan. Untuk itu, kita memperuntukkan RM4.6 juta,” katanya.

Bagi meningkatkan kualiti kehidupan masyarakat sebanyak RM3.5 juta diberikan untuk menyiapkan kemudahan awam seperti meningkatkan pusat komuniti, institusi keagamaan, kemudahan sukan dan penyediaan kemudahan krematorium.

DBKL memperuntukkan RM6.16 juta untuk melaksanakan satu projek baru dan menyiapkan dua projek yang masih dalam pembinaan iaitu Masjid Wangsa Maju dan Surau Al-Ikhlas Bandar Tun Razak yang akan diserahkan pada 2008.
Last Updated ( Wednesday, 12 December 2007 )
 

Pengumuman



 Selamat Datang ke

        Portal eKL

    

MyGov Info
Satu saluran Info Agensi Kerajaan...

Soal Selidik MyBayar
Pandangan anda mengenai pembayaran elektronik kerajaan

Direktori Perkhidmatan
Direktori Perkhidmatan Online Agensi Kerajaan 

Kliklah Siri 4
Perkhidmatan IPT !!! 




    ARTICLES

RSS eKL

PENAFIAN:Kerajaan Malaysia tidak bertanggungjawab terhadap sebarang kehilangan atau kerosakan yang dialami kerana menggunakan maklumat dalam laman ini.

Paparan terbaik menggunakan browser Internet Explorer 7.0 dan Mozilla Firefox

Dasar Privasi | Dasar Keselamatan