|
Sistem Penyampaian Perkhidmatan Awam Bertambah Baik - PM. |
|
Monday, 07 January 2008 |
PUTRAJAYA, 7 Jan (Bernama) -- Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi hari ini berkata pelbagai langkah yang diambil untuk meningkatkan sistem penyampaian perkhidmatan awam kepada rakyat tahun lalu telah membawa banyak perubahan yang memuaskan hati semua pihak.
Langkah itu termasuk menubuhkan Pasukan Petugas Khas Pemudahcara Perniagaan (Pemudah), satu inisiatif bersama sektor kerajaan dan swasta, untuk meningkatkan sistem penyampaian kerajaan, membaiki sistem pentadbiran dan memudahkan operasi perniagaan.
"Alhamdulilah, teguran, cakap-cakap yang kadang-kadang itu sampai menghina, sudah kita tidak dengar lagi, dah banyak pun kurangnya, dan adalah benar bahawasanya usaha untuk memberi perkhidmatan kepada rakyat telah bertambah baik tahun sudah.
"Terima kasih dan tahniah kepada anda semua tetapi kita tidak boleh mengambil sikap cukuplah (kerana), semua sudah okey, kerana sikap ini tidak akan dapat menambahkan lagi nilai kepada usaha yang kita kerjakan," kata Perdana Menteri pada majlis perhimpunan bulanan Jabatan Perdana Menteri di sini.
Abdullah meminta kakitangan awam supaya menanam azam sempena tahun baru ini untuk meningkatkan prestasi, kecekapan dan produktiviti melalui cara mereka bekerja dan kesungguhan dalam melaksanakan tanggungjawab.
"Mudah-mudahan kesungguhan ini akan menghasilkan apa yang dikehendaki oleh rakyat dan apa jua yang kita sendiri kehendaki," katanya.
Selepas perhimpunan itu, Perdana Menteri mempengerusikan mesyuarat khas untuk membincangkan isu kekurangan bekalan minyak masak di bilik mesyuarat perdana, JPM.
-- BERNAMA |
|
Last Updated ( Monday, 07 January 2008 )
|