|
KSN Cabar Sektor Swasta Laksana Polisi Pembayaran 14 Hari. |
|
Thursday, 17 January 2008 |
PUTRAJAYA, 16 Jan (Bernama) -- Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Sidek Hassan hari ini mencabar sektor swasta supaya mencontohi polisi pembayaran dalam tempoh 14 hari seperti yang diamalkan sektor awam bagi menjana pertumbuhan ekonomi negara.
Beliau percaya sektor swasta boleh memenuhi pembayaran semua invois dalam tempoh 14 hari seperti yang dilakukan sektor awam.
Bulan lepas sahaja, 96.9 peratus pembayaran oleh kementerian persekutuan dan agensinya berjumlah RM8.455 bilion telah dibuat dalam 14 hari dan 70.4 peratus dari jumlah itu dibuat dalam tempoh tujuh hari," katanya.
"RM8 bilion (di pasaran) merupakan jumlah yang banyak. Sekiranya kerajaan boleh melakukannya, sudah tentu pihak swasta juga boleh melakukannya dan keseluruhan ekonomi akan bergerak pantas," katanya.
Kerajaan berjanji akan mengurangkan pembayaran invois dan pembekal perkhidmatan dari 30 hari ke 14 hari bekerja tahun lepas dalam usaha meningkatkan sistem penyampaian sektor awam.
Pada November 2007, sejumlah 316,001 invois telah diproses oleh sektor awam dan 96.1 peratus pembayaran dibuat dalam 14 tempoh hari yang berjumlah RM4.25 bilion, katanya.
"Sudah tentu terdapat sesetengah kes di mana pembayaran dibuat antara 15 atau 16 hari tetapi jumlahnya tersangat kecil.
"Pada 2006, kita bercakap mengenai kelewatan pembayaran oleh kerajaan yang mengambil masa berbulan-bulan walaupun kita telah berjanji dalam 30 hari, tetapi kini kita mengurangkannya kepada 14 hari," kata beliau.
Beliau berkata perkembangan baru itu akan mengerakkan sektor awam untuk terus meningkatkan sistem penyampaiannya.
Pada masa lepas, kelewatan pembayaran di pihak kerajaan menimbulkan rasa tidak puas hati di kalangan pembekal perkhidmatan kerana mereka sukar menggunakan aliran modal.
-- BERNAMA |
|
Last Updated ( Friday, 18 January 2008 )
|