|
Langkah halang ke luar negara berkesan. KUALA LUMPUR, 21 Jan (Berita Harian) -- Langkah Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) menyerahkan senarai individu yang ingkar membayar pinjaman kepada Jabatan Imigresen berkesan apabila 40 peratus daripada mereka memulakan bayaran balik pinjaman masing-masing.
Ketua Pegawai Eksekutif PTPTN, Yunos Abdul Ghani, berkata mereka yang membayar dikeluarkan daripada senarai ke Jabatan Imigresen.
Beliau berkata, sehingga kini nama 2,813 individu diserahkan kepada Jabatan Imigresen kerana gagal memberi sebarang maklum balas kepada PTPTN.
"Seramai 200,000 gagal membayar balik pinjaman tetapi setakat ini hanya 2,813 sudah dilaporkan ke pihak imigresen. Daripada jumlah itu, 40 peratus memulakan bayaran dan dikeluarkan daripada senarai," katanya.
Khamis lalu akhbar melaporkan PTPTN menyerahkan senarai 200,000 individu yang ingkar membayar pinjaman kepada Jabatan Imigresen bagi menghalang mereka ke luar negara, termasuk mengerjakan haji atau umrah.
Pengerusi PTPTN, Datuk Razali Ismail, berkata pihaknya sudah meminta Jabatan Imigresen tidak membenarkan penama dalam senarai itu ke luar negara sebelum merujuk mereka kepada perbadanan berkenaan.
Senarai nama peminjam ingkar itu juga akan dihantar kepada Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) yang akan mengenakan tindakan tatatertib terhadap mereka jika bertugas sebagai kakitangan awam.
Yunos berkata, buat masa ini perbadanan sudah mengambil tindakan sewajarnya mengikut lunas undang-undang dan dari semasa ke semasa akan terus menyenaraikan nama mereka yang bersikap acuh tak acuh dalam soal pembayaran balik pinjaman.
Daripada 534,000 peminjam di seluruh negara, hanya 40 peratus atau 324,000 menjelaskan pinjaman mengikut jadual, manakala lebih 200,000 masih tidak membuat sebarang bayaran walaupun kebanyakannya bekerja.
Kegagalan membayar balik menyebabkan PTPTN dibebani hutang tertunggak RM700 juta selain menghadapi masalah menyalurkan pinjaman baru kepada mereka yang memerlukan. |