|
Jurulatih kaum Cina, India di setiap kem PLKN. |
|
Monday, 21 January 2008 |
SUBANG JAYA, 21 Jan (Berita Harian) -- Majlis Latihan Khidmat Negara (MLKN) akan menempatkan sekurang-kurangnya seorang jurulatih berbangsa Cina dan India di setiap kem Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) di seluruh negara bagi mengelakkan masalah komunikasi di kalangan pelatih yang kurang mahir berbahasa Malaysia.
Pengerusinya, Tan Sri Lee Lam Thye, berkata walaupun peratusan pelatih PLKN yang tidak mahir berbahasa Malaysia adalah kecil, pihaknya tetap memandang serius masalah berkenaan kerana ia akan mengganggu kelancaran program itu.
"Setakat ini, kita hanya mempunyai tidak sampai lima peratus jurulatih berbangsa Cina dan hanya enam peratus berbangsa India daripada 3,000 jurulatih di 83 kem PLKN di seluruh negara.
"Kita akan merangka strategi bagi mengatasi masalah ini dengan mengadakan perjumpaan dengan persatuan kaum Cina bagi menggalakkan mereka menceburi bidang ini," katanya selepas menghadiri majlis penyampaian anugerah kepada 196 Anak Angkat Yayasan SP Setia, di sini, semalam.
Hadir sama, Pemegang Amanah Yayasan SP Setia, Tan Sri Aseh Che Mat dan Pengarah Urusan Kumpulan SP Setia Berhad, Tan Sri Liew Kee Sin.
Lee berkata, bekas guru yang berminat untuk menjadi jurulatih di kem PLKN juga amat dialu-alukan dan berjanji permohonan mereka akan diproses dengan segera kerana mereka mempunyai banyak pengalaman yang boleh digunakan untuk melatih pelatih.
Selain itu, katanya, pengambilan jurulatih kontrak juga dijangka akan dilaksanakan Mac ini bagi memudahkan latihan PLKN dijalankan kerana setakat ini jurulatih hanya bekerja secara sambilan.
Mengulas mengenai elaun pelatih yang dinaikkan sebanyak 50 peratus, Lee berkata, ia adalah satu keputusan wajar sejajar dengan keadaan ekonomi bagi membolehkan pelatih membeli barangan keperluan tanpa membebankan ibu bapa.
"Kenaikan elaun ini berkuat kuasa serta-merta untuk 37,000 pelatih yang sedang mengikuti latihan itu dan saya mendapat banyak panggilan daripada ibu bapa yang gembira dengan keputusan kerajaan menaikkan elaun itu.
"Apa diharapkan, pelatih dapat menggunakan wang elaun terbabit dengan bijak dan menabung untuk keperluan masa depan," katanya.
Akhbar semalam melaporkan, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mengumumkan kenaikan elaun bulanan pelatih PLKN daripada RM100 kepada RM150 atau RM450 sepanjang tempoh latihan membabitkan peruntukan sebanyak RM49.5 juta.
Mengenai sambutan pelatih sukarela, Lee berkata, ia menunjukkan perkembangan positif apabila 650 pelatih mendaftarkan diri untuk mengikuti Siri 5/2008.
Katanya, mereka akan mengisi kekosongan pelatih yang melanjutkan pelajaran atau sedang menghadapi peperiksaan. |
|
Last Updated ( Monday, 21 January 2008 )
|