JLKN perkenal tiga modul baru.
Monday, 28 January 2008
KUALA KRAI, 28 Jan (Berita Harian) -- Jabatan Latihan Khidmat Negara (JLKN) memperkenalkan tiga modul baru dalam usaha membentuk kekuatan jati diri dan keperibadian mulia pelatih Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) mulai tahun ini.

Pembaharuan itu yang sedang dilaksana membabitkan 37,000 pelatih Kumpulan Pertama siri berkenaan tahun ini, membabitkan pendedahan kesedaran HIV, antidadah dan pencegahan jenayah.

Ketua Pengarah JLKN, Abdul Hadi Awang Kechil, berkata program terbaru dalam modul PLKN yang diputuskan Kabinet dilaksanakan dengan kerjasama polis dan Agensi Anti-Dadah Kebangsaan (AADK).

Katanya, keputusan memperkenalkan tiga program itu dilakukan kerajaan selepas mengambil kira kepentingan pendedahan pencegahan jenayah serta penyalahgunaan dadah yang semakin meningkat di kalangan remaja.

"Melalui penekanan tiga aspek ini dalam modul latihan PLKN, kita yakin banyak kesan positif dapat diterapkan kepada pelatih khususnya membentuk individu bertanggungjawab, semangat kerjasama dan kepemimpinan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melawat Kem PLKN Batu Jong, di sini, semalam. Hadir sama, Komandan kem berkenaan, Mejar Shamsudin Jusoh.

Sementara itu, Abdul Hadi berkata, setakat ini JLKN tidak bercadang mewajibkan pelatih mengikuti latihan pendedahan pengendalian senjata (LPPS) selepas kejayaan pelaksanaannya sejak 2006.

Sebaliknya, beliau berkata, pelatih Kumpulan Pertama Siri 5/2008 yang akan menjalani latihan menembak selepas Tahun Baru Cina, perlu mendapatkan kebenaran ibu bapa terlebih dulu seperti sebelum ini.

Katanya, kaji selidik JLKN mendapati, lebih 90 peratus pelatih menganggap latihan menembak memberi banyak faedah, termasuk melahirkan kesedaran mengenai peranan mempertahankan negara serta menguatkan perasaan cintakan negara.

"Kajian juga menunjukkan sepanjang pelaksanaan latihan menembak sejak 2006, kurang satu peratus ibu bapa tidak membenarkan anak mereka menggunakan senjata dan ini menunjukkan kesedaran terhadap keberkesanan latihan PLKN semakin tinggi," katanya.

Abdul Hadi berkata, seramai 630 pelatih Kumpulan Pertama Siri 5/2008 terdiri daripada pelatih sukarela di 83 kem seluruh negara yang memohon menyertai PLKN walaupun nama mereka tidak disenaraikan oleh JLKN.

Katanya, permohonan menyertai PLKN secara sukarela menunjukkan remaja khususnya lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan ibu bapa mengiktiraf peranan PLKN untuk membentuk keperibadian mulia dan jati diri cemerlang.

 

Last Updated ( Monday, 28 January 2008 )
 

Pengumuman



 Selamat Datang ke

        Portal eKL

    

MyGov Info
Satu saluran Info Agensi Kerajaan...

Soal Selidik MyBayar
Pandangan anda mengenai pembayaran elektronik kerajaan

Direktori Perkhidmatan
Direktori Perkhidmatan Online Agensi Kerajaan 

Kliklah Siri 4
Perkhidmatan IPT !!! 




    ARTICLES

RSS eKL

PENAFIAN:Kerajaan Malaysia tidak bertanggungjawab terhadap sebarang kehilangan atau kerosakan yang dialami kerana menggunakan maklumat dalam laman ini.

Paparan terbaik menggunakan browser Internet Explorer 7.0 dan Mozilla Firefox

Dasar Privasi | Dasar Keselamatan