|
Memantapkan Sistem Penyampaian. |
|
Tuesday, 05 February 2008 |
Oleh Datuk Ahmad Zahid Hamidi Timbalan Menteri Penerangan Malaysia
KUALA LUMPUR, 5 Feb (Bernama) -- Pada 7 Feb ini genaplah setahun usia Pasukan Petugas Khas Pemudahcara Perniagaan (Pemudah), cetusan idea Perdana Menteri untuk mengatasi karenah birokrasi dalam urusan antara perniagaan dan kerajaan.
Biarpun usianya cuma setahun jagung, namun pelbagai kaedah yang digariskan Pemudah sedikit demi sedikit membuahkan perubahan yang membanggakan.
Ia juga dilihat bukan sahaja memudahkan tatacara melakukan perniagaan di Malaysia, malah menyediakan persekitaran kondusif untuk memikat pelabur swasta menerusi peningkatan kecekapan sistem perkhidmatan awam.
Dipengerusikan bersama oleh Ketua Setiausaha Negara (KSN) dan Presiden Persekutuan Pekilang-Pekilang Malaysia (FMM), Pemudah dianggotai 23 ahli dari kalangan individu berstatus tinggi sektor swasta dan awam yang melapor terus kepada Perdana Menteri.
TERMA RUJUKAN
Pemudah menggunapakai beberapa terma rujukan, antaranya ialah mengkaji semula status sistem penyampaian perkhidmatan awam daripada segi proses, prosedur, undang-undang dan sumber manusia ke arah memperkenalkan penambahbaikan.
Ia turut mempelajari amalan terbaik sektor swasta untuk digunapakai sektor awam dan memantau pelaksanaan dasar, strategi dan prosedur serta mengambil tindakan sewajar terhadap isu berkaitan sistem penyampaian sektor awam yang dibangkitkan dalam mesyuarat kabinet.
Setelah dilaksanakan hampir setahun, kini melalui Pemudah, kelulusan laporan impak alam sekitar dipercepatkan daripada tiga bulan kepada lima minggu; kelulusan pendaftaran baru perniagaan diberi serta merta berbanding tiga hari sebelum ini.
Urusan pindah milik hartanah turut disegerakan; taksiran duti setem dibuat berdasarkan penilaian pihak swasta; prosedur pengeluaran lesen dan permit dipermudahkan dan tempoh pemprosesan disingkatkan malah tempoh pembayaran balik cukai turut dipendekkan.
Kerajaan juga memansuhkan prosedur yang melambatkan atau menyusahkan pelaksanaan projek untuk memastikan Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK9) dapat dicapai. Antara prosedur itu berkaitan pengambilalihan tanah dan pengeluaran lesen tertentu kepada orang awam.
KURANGKAN KARENAH BIROKRASI
Kesemuanya ini menunjukkan bahawa karenah birokasi kini sudah dapat dikurangkan dalam usaha meningkatkan kecekapan sistem penyampaian awam yang menjadi antara agenda utama kepemimpinan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.
Ia juga sejajar dengan usaha kerajaan mengelak perkara itu mengekang pertumbuhan ekonomi negara.
Kesungguhan Perdana Menteri turut terbukti apabila beliau mahu semua keputusan yang membabitkan Pemudah turut diperluaskan kepada pentadbiran negeri.
Pemudah yang menggabungkan wakil-wakil pihak Kerajaan dan swasta juga dilihat berjaya mengurangkan jumlah aduan terhadap perkhidmatan awam.
PIN DAN TEKAD 2008
Pelancaran Pelan Integriti Nasional (PIN) pada 23 April 2004, dengan fokus memupuk dan membudayakan etika dan integriti di kalangan semua lapisan masyarakat Malaysia juga selaras dengan cabaran keempat Wawasan 2020.
Cabaran keempat Wawasan 2020 itu ialah untuk membentuk sebuah masyarakat yang kukuh ciri-ciri moral dan etikanya, dengan para warganya mempunyai nilai keagamaan dan kerohanian yang utuh dan ditunjangi oleh budi pekerti yang luhur.
Dalam usaha memantapkan integriti supaya berjalan lancar dan mencapai matlamatnya, PIN telah menyusun dan menetapkan sasarannya yang dikenali sebagai TEKAD 2008 untuk dicapai dalam tempoh lima tahun pertamanya (2004-2008).
Antara sasaran yang digariskan melalui TEKAD 2008 ialah mengurangkan gejala rasuah, penyelewengan dan salahguna kuasa secara berkesan di samping meningkatkan tadbir urus korporat dan etika perniagaan.
Pelaksanaan pelbagai strategi yang digariskan semuanya ini akan menyumbang kepada pembangunan yang seimbang dan lestari, kestabilan politik dan keharmonian kehidupan rakyat pelbagai kaum serta peningkatan kesejahteraan hidup rakyat.
Pembentukan Suruhanjaya Khas Penambahbaikan Perjalanan dan Pengurusan PDRM pada 4 Feb 2004 juga disifatkan amat penting untuk menambahbaik kualiti siasatan polis dan meningkatkan pengurusan sumber manusia serta menyediakan kemudahan perumahan dan kebajikan lebih baik.
KOMITMEN SEKTOR AWAM
Pelancaran Komitmen Sektor Awam Malaysia 2008, baru-baru ini jelas mencerminkan komitmen Kerajaan menyediakan perkhidmatan awam yang cemerlang bagi memastikan aset negara ini dapat digerakkan secara berkesan bagi meneruskan kemajuan, keamanan dan kemakmuran negara.
Pemudah amat komited untuk meletakkan Malaysia di kalangan 10 negara terbaik dalam Indeks Menjalankan Perniagaan yang dikeluarkan oleh Bank Dunia berbanding kedudukan semasa iaitu di tangga ke-24.
Pendek kata, hasrat kerajaan ialah supaya perkhidmatan awam dapat mencapai penanda aras antarabangsa yang berteraskan pelanggan, berinovasi dan proaktif dalam menyokong ekonomi yang berdaya saing dan seterusnya menjana masa depan gemilang untuk negara.
Ini juga selaras dengan Mantra Perkhidmatan Awam, "Satu Perkhidmatan, Satu Penyampaian".
Pencapaian dan penambahbaikan yang telah dilakukan melalui Pemudah setakat ini, boleh didapati dengan melayari laman webnya di www.pemudah.gov.my
-- BERNAMA |
|
Last Updated ( Tuesday, 05 February 2008 )
|