|
Guru Matematik, Sains mesti kuasai BI. |
|
Tuesday, 19 February 2008 |
KUALA LUMPUR, 19 Feb (Berita Harian) -- Kerajaan perlu memastikan guru yang dipilih bagi mengajar subjek Matematik dan Sains dalam bahasa Inggeris menguasai bahasa itu dengan baik jika kaedah pengajaran dan pembelajaran (PMP) itu diteruskan pada masa depan.
Presiden Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP), Anuar Ibrahim, berkata langkah itu amat penting memandangkan kebanyakan guru pada masa ini lahir daripada sistem pelajaran kebangsaan yang menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar.
“Persediaan ini perlu jika ingin memastikan kejayaan proses PMP dalam bahasa Inggeris. Kita terlebih dulu perlu memastikan guru yang mengajar dalam bahasa itu mampu menyampaikannya dengan baik,” katanya kepada Berita Harian, di sini, semalam.
Beliau berkata, NUTP menyokong pelaksanaan pembelajaran Matematik dan Sains dalam bahasa Inggeris tetapi ia tidak bererti kajian semula dan penambahbaikkan tidak boleh dilakukan jika didapati ada kekurangan dalam kaedah yang dipilih sebelum ini.
“NUTP menyambut baik langkah untuk mengkaji semula kaedah itu terutama sekali apabila mengambil kira kesan penggunaannya ke atas kedua-dua subjek berkenaan untuk jangka panjang,” katanya.
Beliau mengulas kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, bahawa kerajaan akan menimbang permintaan penggunaan semula bahasa Melayu bagi subjek Sains dan Matematik selepas kajian terperinci mengenai keberkesanan pengajaran dan pembelajaran dalam bahasa Inggeris dilakukan.
Anuar berkata, jika penggunaan bahasa Inggeris diteruskan, langkah bagi memperkasakan bahasa itu dalam semua aspek perlu dilakukan.
Yang Dipertua Majlis Permuafakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN), Prof Madya Datuk Mohamad Ali Hasan, berkata pihaknya mengalu-alukan langkah diambil kerajaan dan berharap kajian terhadap penggunaan semula bahasa Melayu bagi kedua-dua subjek itu di sekolah rendah dilaksanakan.
Sementara itu, Pengerusi Biro Pendidikan MIC, Prof Datuk Dr T Marimuthu, berkata keberkesanan pengajaran dan pembelajaran subjek berkenaan dalam bahasa Inggeris perlu dinilai dengan teliti sebelum sebarang keputusan sama ada mahu menggunakan semula bahasa ibunda dalam subjek itu dilaksanakan.
Ketika dihubungi di sini, semalam, beliau berkata, kajian mendalam perlu dilakukan dengan mengambil kira permasalahan yang dihadapi guru dan murid dalam pengajaran dan pembelajaran subjek berkenaan.
“Kerajaan sudah belanja banyak terutama dalam usaha menghantar guru untuk latihan bagi subjek berkenaan diajar dalam bahasa Inggeris. Justeru, keberkesanannya perlu dilihat terlebih dulu sebelum keputusan diambil.
“Saya tidak nampak masalah, jika tiada cukup tenaga pengajar misalnya, kita boleh import guru dari India untuk mengajar yang sememangnya menggunakan bahasa Inggeris,” katanya. |
|
Last Updated ( Tuesday, 19 February 2008 )
|