|
Tuesday, 26 February 2008 |
KUALA LUMPUR, 26 Feb (Berita Harian) -- Manifesto Barisan Nasional (BN) bagi pilihan raya umum 2008 yang dilancarkan semalam dijangka mampu memantapkan lagi sistem penyampaian sektor perkhidmatan awam bagi memudahkan rakyat menjalankan pelbagai urusan.
Presiden Institut Integriti Malaysia, Datuk Dr Mohd Tap Salleh, berkata selaku parti yang matang dan memahami situasi semasa, BN diyakini mempunyai rancangan jangka panjang bagi setiap sektor perkhidmatan dalam memacu keupayaan masing-masing.
Beliau berkata, melihat pelaksanaan pelbagai projek menaik taraf mutu perkhidmatan sejak pilihan raya umum lalu, BN sememangnya mengotakan janji kerana pelbagai pembaharuan diperkenalkan ke arah mencapai matlamat itu.
“Apa yang saya lihat, pengenalan dan pemantapan operasi sektor awam dijalankan dengan serius malah penggunaan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) yang kini dilaksanakan secara menyeluruh membantu melicinkan pentadbiran,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.
Sementara itu, Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs), Omar Osman, yakin manifesto yang dilancarkan BN itu dapat meningkatkan martabat sektor perkhidmatan awam negara.
Beliau berkata keyakinan itu dibuat berdasarkan kesungguhan kerajaan pimpinan Pengerusi BN, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi memperbaiki kualiti khidmat dalam sektor berkenaan sehingga setanding dengan negara maju lain.
Katanya, lebih satu juta ahli Cuepacs juga percaya apa yang dijanjikan kerajaan untuk memperbaiki mutu perkhidmatan awam demi manfaat rakyat akan dapat dilaksanakan dengan jayanya kerana BN sentiasa prihatin, tidak zalim dan mengutamakan kepentingan rakyat.
“Bukti boleh dilihat sepanjang negara merdeka sehingga kini, banyak urusan perkhidmatan awam dapat dilaksanakan dengan semakin cekap dan pantas, memudahkan semua pihak termasuk rakyat di luar bandar,” katanya.
Presiden Persatuan Pesara Kerajaan Malaysia (PKPM), Tan Sri Abdullah Ayob, berkata Manifesto BN yang dilancarkan Abdullah itu membuktikan keprihatinan BN terhadap kepentingan sektor awam dalam menyokong program pembangunan.
“Contohnya, ikrar BN untuk melaksanakan kenaikan pangkat serta ganjaran anggota perkhidmatan awam berasaskan pencapaian prestasi kerja adalah satu pengiktirafan terhadap sumbangan sektor berkenaan,” katanya yang yakin BN mampu mencapai ikrar mereka terhadap perkhidmatan awam berdasarkan rekod pencapaiannya. |
|
Last Updated ( Tuesday, 26 February 2008 )
|