|
Teliti pilih kontraktor : KSN. |
|
Wednesday, 27 February 2008 |
Agensi kerajaan mesti elak 17,000 projek dalam RMK-9 alami masalah.
KUALA LUMPUR, 27 Feb (Berita Harian) -- Agensi kerajaan diminta lebih teliti dalam pemilihan kontraktor di samping membuat perancangan dan pemantauan rapi bagi memastikan 'projek sakit' dalam Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) tiada masalah.
Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Sidek Hassan, berkata langkah itu adalah perlu bagi memastikan lebih 17,000 projek yang sedang dilaksanakan melalui RMK-9 siap mengikut jadual.
"'Projek sakit' bukan saja menyebabkan pembaziran wang awam malah kerajaan terpaksa menanggung kerugian dan kos tambahan bagi menyiapkan projek terbabit.
"Ketelitian pada peringkat perancangan projek seperti memilih tapak yang sesuai dan memilih kontraktor yang mempunyai rekod yang baik perlu dititikberatkan.
"Apabila projek dilaksanakan, langkah pemantauan rapi seperti lawatan mengejut dan berkala ke tapak projek adalah satu mekanisme pemantauan yang perlu dibuat," katanya selepas merasmikan Sekolah Kebangsaan Danau Kota Dua, di sini, semalam
Sekolah Kebangsaan Danau Kota Dua adalah antara 268 'projek sakit' dalam Rancangan Malaysia Kelapan (RMK-8) yang berjaya dipulihkan Kementerian Pelajaran.
Ia dijadualkan siap pada 2002 tetapi tertangguh selama tujuh tahun akibat kegagalan kontraktor utama menyiapkannya mengikut jadual.
Sidek berkata, kerajaan terpaksa mengeluarkan kos tambahan sebanyak RM3.1 juta bagi menyiapkan Sekolah Kebangsaan Danau Kota Dua itu.
"Saya mengucapkan tahniah kepada Kementerian Pelajaran kerana berjaya menyiapkan projek ini walaupun ia mengambil masa lama dan membabitkan sehingga tiga kontraktor," katanya. |
|
Last Updated ( Wednesday, 27 February 2008 )
|