Dua isu realisasikan e-kerajaan.
Friday, 18 April 2008
Najib mahu anjakan paradigma infrastruktur bertaraf dunia pertingkat penyampaian awam.

KUALA LUMPUR, 18 Apr (Berita Harian) -- Datuk Seri Najib Razak semalam menggariskan dua isu penting yang perlu diambil kira dalam usaha merealisasikan hasrat kerajaan untuk melaksanakan sepenuhnya inisiatif kerajaan elektronik (e-kerajaan). Timbalan Perdana Menteri berkata, dua isu berkenaan adalah membina infrastruktur bertaraf dunia dan anjakan paradigma di kalangan masyarakat untuk menerima sepenuhnya penggunaan teknologi dalam sistem penyampaian awam.

Katanya, kerajaan sudah memberikan yang terbaik dalam menyediakan infrastruktur bertaraf dunia, termasuk memperuntukkan RM12.9 bilion bagi aplikasi teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) di bawah Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9).

"Ini termasuk usaha pembangunan aplikasi multimedia di Koridor Raya Multimedia (MSC) serta penyelidikan dan pembangunan (R&D) ICT," katanya berucap pada majlis pelancaran perkhidmatan pembaharuan cukai jalan dalam talian di Kuala Lumpur, semalam.

Perkhidmatan itu disediakan peneraju penyedia perkhidmatan e-kerajaan, MYEG Services Bhd dengan kerjasama Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

Najib menegaskan, secara asasnya, kerajaan sudah melaksanakan pendekatan bertaraf dunia dalam membangunkan infrastruktur ICT yang diperlukan, termasuk kluster R&D dan hab satelit.

"Kedua-dua inisiatif ini mampu meningkatkan budaya R&D, selain mengukuhkan kerjasama antara kerajaan dan sektor swasta dalam membangunkan penyelesaian inovatif ke arah memperbaiki sistem penyampaian awam," katanya.

Bagaimanapun, katanya, usaha kerajaan itu tidak akan memberi impak ketara jika masyarakat tidak bersedia atau menerima kaedah baru dalam sistem penyampaian awam.

"Justeru, langkah kerajaan seterusnya adalah memenangi pertempuran dalam mengubah minda rakyat... perubahan budaya, termasuk anjakan paradigma ke arah penggunaan sepenuhnya teknologi," katanya.

Dalam konteks ini, Najib berkata, kerajaan dan sektor swasta mempunyai tanggungjawab masing-masing dalam meningkatkan keyakinan orang ramai dan pelaksanaan sepenuhnya teknologi dalam sistem penyampaian awam.

"Saya menyeru semua pihak supaya menetapkan minda mereka ke arah yang lebih progresif dan menerima sistem penyampaian awam menerusi ICT bagi membolehkan negara merealisasikan wawasan e-kerajaan sepenuhnya," katanya.

Sementara itu, Najib berkata, penyediaan perkhidmatan yang ditawarkan MYEG dan JPJ itu meluaskan lagi inisiatif e-kerajaan yang sudah dilaksanakan menerusi MSC sejak 12 tahun lalu.

"Kerajaan akan terus komited dengan usaha mempermudah penyampaian perkhidmatan awam secara lebih cekap dan praktikal, sesuai dengan perkembangan ICT dan penggunaan multimedia," katanya.

Najib berkata, oleh kerana Malaysia adalah antara pasaran automotif terbesar di Asia Tenggara dengan anggaran 15 juta kenderaan berdaftar ketika ini, perkhidmatan yang ditawarkan itu tepat pada masanya.
Last Updated ( Friday, 18 April 2008 )
 

Pengumuman



 Selamat Datang ke

        Portal eKL

    

MyGov Info
Satu saluran Info Agensi Kerajaan...

Soal Selidik MyBayar
Pandangan anda mengenai pembayaran elektronik kerajaan

Direktori Perkhidmatan
Direktori Perkhidmatan Online Agensi Kerajaan 

Kliklah Siri 4
Perkhidmatan IPT !!! 




    ARTICLES

RSS eKL

PENAFIAN:Kerajaan Malaysia tidak bertanggungjawab terhadap sebarang kehilangan atau kerosakan yang dialami kerana menggunakan maklumat dalam laman ini.

Paparan terbaik menggunakan browser Internet Explorer 7.0 dan Mozilla Firefox

Dasar Privasi | Dasar Keselamatan