|
Syor tubuh agensi tunggal selia pengangkutan dikaji. |
|
Monday, 21 April 2008 |
KUALA LUMPUR, 21 Apr (Berita Harian) -- Kementerian Pengangkutan akan mengkaji kemungkinan untuk mewujudkan badan tunggal yang menyelaras serta mengawal selia aspek pengangkutan serta keselamatan jalan raya negara supaya tindakan lebih bersepadu dan tersusun dapat diambil terutama membabitkan kemalangan maut.
Menteri Pengangkutan, Datuk Ong Tee Keat, berkata langkah itu bertujuan mempercepat atau melancarkan tindakan penguatkuasaan di samping mengelakkan sikap menuding jari serta lepas tangan berlaku antara agensi apabila kontroversi timbul khususnya membabitkan nahas jalan raya.
Katanya, bagaimanapun cadangan badan tunggal itu adalah antara aspek yang akan dilihat dalam mesyuarat antara pegawai agensi yang mengawal selia pengangkutan negara yang akan diadakan tidak lama lagi.
“Satu pertemuan antara pegawai akan diadakan sebelum akhir bulan ini bagi mengenal pasti kelemahan serta kekurangan sistem pemantau yang mengawal selia aspek pengangkutan negara membabitkan Kementerian Pengangkutan, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP).
“Badan tunggal itu antara cadangan penambahbaikan awal dan belum dimuktamadkan lagi. Apa yang penting menerusi mesyuarat itu kementerian mahu agensi pemantau sistem pengangkutan negara melakukan penyelarasan tugas serta mengadakan perbincangan untuk menambah baik semua sistem yang digunakan bagi pemantauan sistem pengangkutan negara,” katanya ketika dihubungi, di sini semalam.
Beliau mengulas mengenai dakwaan kelemahan penguatkuasaan kerana kelonggaran penyelarasan antara pelbagai agensi membabitkan kementeriannya, JPJ, polis serta LPKP, mengakibatkan hukuman terhadap pesalah jalan raya khususnya pengendali bas ekspres yang terbabit dalam kemalangan maut lambat diambil, walaupun ia kesalahan berulang.
Ong berkata, kementeriannya menyedari mengenai dakwaan kelemahan serta kelonggaran penyelarasan antara agensi menyebabkan tindakan segera serta berkesan kadang-kala tidak dapat diambil terhadap pesalah jalan raya.
“Kita akui itu adalah satu daripada faktor yang kadangkala menjadi kekangan terhadap usaha pihak berkuasa serta agensi pemantau pengangkutan serta jalan raya untuk mengambil tindakan tegas terhadap pemandu atau pengendali syarikat pengangkutan bas ekspres.
“Bagaimanapun, agensi seperti JPJ, polis serta LPKP sudah pun menjalinkan kerjasama untuk mengatasi perkara itu. Saya yakin selepas mesyuarat akhir bulan ini, segala masalah dan kelemahan akan dapat diatasi secara berperingkat,” katanya.
Sementara itu, Ong juga berkata, usaha dilakukan supaya rekod atau data disimpan JPJ serta polis membabitkan pesalah jalan raya atau jumlah saman perlu dikongsi dan dapat diakses sepanjang masa supaya rujukan, tindakan atau hukuman yang diambil dilakukan bersepadu dan tanpa sebarang pertindihan kuasa. |
|
Last Updated ( Monday, 21 April 2008 )
|
|
|
MAMPU Director-General
The WITSA Global ICT Excellence Awards are held every two years, in connection with WITSA’s premier event; the World Congress on IT. MyGovernment Portal Wins Global ICT Award - More Info
RSS eKL
|