|
Syor wajib subjek keselamatan IT. |
|
Thursday, 06 November 2008 |
KUALA LUMPUR, 6 Nov (Berita Harian) -- Institusi pengajian tinggi (IPT) tempatan disaran proaktif dalam membantu menangani isu keselamatan maklumat siber dengan menjadikan pensijilan keselamatan teknologi maklumat (IT) sebagai kursus wajib dalam setiap program pengajian yang ditawarkan.
Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Idris Haron, berkata walaupun terdapat subjek berkaitan di peringkat ijazah dan pasca ijazah pada ketika ini, namun jumlahnya tidak banyak dan kandungan kursus mengenainya pula adalah terhad dan terlalu umum.
“Dengan menggabungkan keperluan industri, tujuan akademik dan objektif ekonomi, program ini bukan saja mengiktiraf pengetahuan dan kemahiran pelajar menangani isu keselamatan siber melalui pemberian sijil profesional, malah memberi nilai tambah kepada bidang kerjaya yang ingin diceburi graduan.
“Justeru, IPT digesa mencari rakan kongsi yang boleh menyediakan kursus terbabit bagi mengukuhkan pengetahuan dan kepakaran warga universiti khususnya pelajar yang mengikuti pelbagai program pengajian,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Persidangan Hackers Halted 2008 kali ke-11 anjuran Universiti Tun Abdul Razak (Unitar) dan Majlis Perdagangan Elektronik (Majlis EC) di sini, semalam.
Hadir sama, Pengerusi Majlis EC, Tan Sri Dr Yahaya Ibrahim dan Timbalan Presiden Unitar, Prof Datuk Dr Mohamed Mahyudin Mohd Dahan.
Idris berkata, peningkatan jenayah siber kini dikaitkan dengan kekerapan penggunaan internet yang semakin meningkat dan kebergantungan masyarakat terhadap teknologi hingga mengakibatkan mereka terdedah kepada ancaman dan sabotaj secara maya.
“Pada suku pertama 2008, Cybersecurity Malaysia melaporkan 232 kes penggodaman yang meliputi penipuan, ancaman penggodam, kod berniat jahat, gangguan maya dan penafian perkhidmatan.
“Semua insiden ini memerlukan pegawai keselamatan maklumat bertauliah untuk menanganinya. Oleh itu, pengiktirafan dan pensijilan keselamatan adalah penting dalam proses menguruskan risiko seumpama ini dan menjadi keperluan utama dalam program keselamatan maklumat sesebuah agensi,” katanya. |
|
Last Updated ( Thursday, 06 November 2008 )
|