|
Firma dakwa pembatalan e-Kesihatan tak dimaklum. |
|
Thursday, 20 November 2008 |
Supremme Systems belum terima surat daripada kementerian
KUALA LUMPUR, 20 Nov (Berita Harian) -- Supremme Systems Sdn Bhd (Supremme Systems), syarikat pengendali program e-Kesihatan semalam mendakwa tidak dimaklumkan mengenai pembatalan program yang mewajibkan pemohon Lesen Memandu Perkhidmatan Kenderaan Awam (PSV) dan Lesen Memandu Kenderaan Barang (GDL) menjalani pemeriksaan kesihatan tahunan.
Pengarah Urusannya, Datuk Nordin Yahya, yang terkejut dengan berita itu berkata, pihaknya hanya mengetahui mengenai pembatalan itu menerusi akhbar semalam.
"Saya tidak tahu apa-apa mengenai pembatalan itu. Kami langsung tidak diberitahu mengenainya, tiada sebarang surat atau panggilan telefon kami terima," katanya semalam.
Beliau juga enggan mengulas mengenai bayaran pampasan kerana tidak menerima sebarang surat rasmi untuk mengesahkan pembatalan program berkenaan.
Semalam, Kementerian Pengangkutan membatalkan program e-Kesihatan yang mewajibkan PSV dan GDL menjalani pemeriksaan kesihatan tahunan.
Menterinya, Datuk Seri Ong Tee Keat, berkata keputusan itu dibuat berikutan e-Kesihatan banyak menimbulkan masalah selain disyaki terdedah dengan penyelewengan dan unsur rasuah.
E-Kesihatan dicadangkan selepas kemalangan bas di Jalan Kuala Lipis-Merapoh yang mengorbankan 15 nyawa selain mencederakan 29 penumpang pada 20 November 2003.
Pada 3 September 2007, kerajaan menandatangani perjanjian dengan Supremme Systems, namun pada 19 September 2007, berikutan aduan pelbagai pihak termasuk Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) Menteri Kesihatan ketika itu, Datuk Seri Dr Chua Soi Lek, mengumumkan Kabinet memutuskan program itu ditangguh dan dirujuk kepada Unit Perancang Ekonomi (EPU) terlebih dulu.
Sementara itu, Presiden MMA, Datuk Dr Khoo Kah Lin yang menyambut baik pembatalan program itu berkata, semua doktor di negara ini tidak memerlukan orang tengah untuk mendaftarkan mereka kerana semua pendaftaran sudah dibuat dengan Majlis Perubatan Malaysia (MMC).
"Jawatankuasa Teknikal MMA sudah menyediakan format bagaimana ujian klinikal dan makmal untuk saringan dan pengesahan pemandu kenderaan komersial perlu dibuat.
"Kita berharap sebarang program baru yang akan dilaksanakan kelak, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) akan mengambil kira pandangan MMA bagi memastikan keselamatan pengguna terjamin," katanya. |
|
Last Updated ( Thursday, 20 November 2008 )
|