|
Sistem e-tanah ke seluruh negara |
|
Friday, 25 May 2007 |
|
SEREMBAN: Kerajaan memutuskan sistem e-tanah yang diperkenalkan bagi mengatasi masalah kelewatan dan kerenah birokrasi dalam pengurusan pentadbiran tanah di Pejabat Tanah Daerah (PTD), diperluaskan ke seluruh negara. Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Seri Azmi Khalid, berkata Kabinet sudah meluluskan peruntukan RM840 juta bagi membangunkan sistem itu secara berperingkat ke semua negeri dengan segera.
Beliau berkata, ia diputuskan selepas kejayaan projek perintis di Pulau Pinang sejak tahun lalu membabitkan kira-kira RM60 juta dan kini hampir 80 peratus siap dibangunkan.
"Walaupun perbelanjaannya tinggi ia akan membawa hasil dan membantu kerajaan negeri memperoleh pendapatan dengan cepat dan banyak,” katnya selepas pertemuan dengan pegawai dan kakitangan jabatan serta agensi kementeriannya di Wisma Negeri, di sini semalam.
E-tanah adalah sistem berasaskan penggunaan teknologi web yang boleh dicapai di mana-mana saja. Antara ciri e-tanah ialah penggunaan teknologi maklumat dan peralatan komputer serta perkhidmatan berkonsepkan mesra pengguna melalui khidmat kaunter setempat.
Antara urusan pentadbiran tanah yang termasuk dalam sistem itu ialah pelupusan, lesen menduduki sementara, pendaftaran hak milik, permohonan pecah bahagian dan sempadan, gadaian, urusan hasil tanah serta pembahagian pusaka kecil.
Azmi berkata, sistem itu diyakini dapat meningkatkan kecekapan, ketelusan dan integriti sistem penyampaian menerusi bank data tanah kerana ia dirangkaikan ke semua pejabat PTD di seluruh negara.
Katanya, pelaksanaan e-tanah juga membolehkan produktiviti kakitangan PTD ditingkatkan, mempercepatkan proses membuat keputusan urusan tanah dan mengurangkan penggunaan kertas.
"Apa yang lebih penting, sistem ini boleh mengurangkan gejala rasuah yang banyak diperkatakan dan sering menjadi rungutan orang ramai mengenai kelewatan serta kerenah birokrasi ketika mereka berurusan di PTD," katanya.
Ditanya mengenai ciri-ciri keselamatan sistem berkenaan, Azmi memberi jaminan sistem itu selamat kerana mempunyai tahap keselamatan mantap dan diperbaiki dari semasa ke semasa bagi mengelak cubaan menceroboh.
Azmi memberi amaran kepada pemaju supaya tidak melengah-lengahkan pengeluaran surat hak milik strata kepada pembeli hingga 49 bulan kerana kerajaan sudah meluluskan pindaan undang-undang.
“Tidak ada alasan hingga pemaju mengambil masa empat tahun mengeluarkan surat hak milik strata. Kita percaya tindakan melengah-lengahkan pengeluaran surat disebabkan masalah kewangan.
"Jadi, saya sudah arahkan Pesuruhjaya Tanah dan Galian Persekutuan memastikan pengeluaran surat hak milik strata kepada pembeli dikeluarkan dalam tempoh singkat iaitu tidak melebihi dua tahun," katanya. |
|
Last Updated ( Friday, 18 January 2008 )
|