|
Projek e-KL pertingkat penyampaian di Lembah Klang |
|
Tuesday, 29 May 2007 |
|
Berita Harian - 28 Mei 2007 -- Untuk menjadi Negara maju pada 2020 dan seterusnya diangkat sebagai Negara yang menggunakan aplikasi ICT sepenuhnya, kerajaan berhadapan dengan pelbagai cabaran besar untuk merealisasikannya.
Justeru, untuk menunjukkan betapa kerajaan serius dalam mencapai matlamat ini, satu strategi mempercepatkan pencapaian status kerajaan elektronik sepenuhnya menjelang 2020 digerakkan menerusi pewujudan projek e-KL iaitu satu sistem untuk meningkatkan penyampaian perkhidmatan di kawasan Lembah Klang.
Pengarah Bahagian e-KL, Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU), Wan Mohd Rosdi Wan Dolah, berkata idea penubuhan dan pelaksanaan strategi ini adalah hasil cadangan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi yang mahukan seluruh kawasan Lembah Klang boleh diakses menggunakan teknologi ICT secara menyeluruh.
“Misi utama pelaksanaan e-KL adalah untuk memperkasakan penggunaaan ICT dalam sistem penyampaian agensi kerajaan di kawasan Lembah Klang. Ia bukan idea baru, tetapi susulan daripada pelaksanaan konsep kerajaan elektronik yang memberi fokus kepada perkhidmatan tanpa atau kurang kertas.
“Pelaksanaan e-KL ini bertujuan mewujudkan satu badan yang akan ‘mendesak’ pelaksanaan kerajaan elektronik di sekitar Lembah Klang menjadi lebih efisyen, cepat, berkualiti, selamat dan mesra pelanggan serta mampu memberi impak tinggi kepada orang ramai.
“Selain itu, penubuhan unit khas ini juga adalah untuk memastikan pelaksanaan projek kerajaan elektronik di Lembah Klang mampu menjadi contoh kepada seluruh negara untuk turut dimajukan menjelang 2020. Bagi Lembah Klang, kami mensasarkan pada 2010, ia mampu menjadi kawasan ICT terbaik di dunia,” katanya.
Beliau berkata, pendekatan yang akan digunakan dalam pelaksanaan e-KL ialah mempelbagaikan saluran penyampaian perkhidmatan dengan memanfaatkan teknologi semasa seperti web, teknologi tanpa wayar, respon suara interaktif (IVR), WAP, telefon dan sebagainya.
Selain itu, e-KL akan memperkasakan perkongsian sumber di kalangan agensi melalui integrasi sistem dan aplikasi ICT agensi untuk membolehkan semua agensi berkomunikasi antara satu sama lain dalam menyediakan perkhidmatan dalam talian secara lebih berkesan.
“Dengan ada perkongsian sumber ini, kita dapat mewujudkan sistem kerajaan dengan konsep pintu terbuka di mana masyarakat boleh dilayan di mana-mana agensi yang dikunjungi, walaupun ia bukan agensi yang memberikan perkhidmatan sebenarnya.
“Contohnya, sekarang ini jika pelanggan bertanyakan sesuatu berkenaan Majlis Perbandaran Selayang di Majlis Perbandaran Kajang, jawapan yang akan mereka terima ialah: Maaf, encik perlu ke Selayang. Namun, dengan pelaksanaan e-KL, tiada istilah salah pintu akan berlaku lagi. Pelanggan akan dilayan walau di mana saja mereka berurusan,” katanya.
Untuk mencapai matlamat itu, e-KL akan memastikan setiap agensi kerajaan di Lembah Klang akan menyediakan infrastruktur dengan kemudahan teknologi dan telekomunikasi mantap, stabil dan selamat sebagai asas penyediaan perkhidmatan dalam talian yang dapat menampung keperluan pelanggan.
Mohd Rosdi berkata, beberapa kemudahan utama akan diberi penekanan iaitu kemudahan serahan elektronik, pembayaran elektronik, aduan dan komunikasi secara elektronik serta akses maklumat.
“Selain itu, kita akan cuba menjadikan lebih banyak kemudahan dapat diakses menggunakan SMS yang pada masa ini menawarkan perkhidmatan yang masih terhad. Dijangkakan pada 2010, 300 perkhidmatan kerajaan dapat diakses menggunakan SMS.
“Bagaimanapun, e-KL hanya akan memberi fokus kepada beberapa kawasan di sekitar Lembah Klang iaitu beberapa kawasan di Selangor (Petaling, Klang, Gombak, Hulu Langat, Sepang meliputi KLIA, Cyberjaya, Shah Alam dan Petaling Jaya), Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya serta Nilai,” katanya.
Beliau berkata, sekurang-kurangnya dengan adanya e-KL, masyarakat dapat melihat sendiri contoh kerajaan elektronik terbaik sebelum ia diperkembangkan ke seluruh negara menjelang 2020. |
|
Last Updated ( Friday, 18 January 2008 )
|
|
|
RSS eKL
|