Dial 999 untuk bantuan kecemasan
Tuesday, 12 June 2007
SEREMBAN, 11 Jun (Utusan Malaysia) -– Orang ramai hanya perlu menghubungi satu nombor kecemasan iaitu 999 untuk mendapatkan bantuan kecemasan membabitkan polis, bomba, ambulans dan Jabatan Pertahanan Awam (JPA3) mulai tahun depan. Ketua Setiausaha Kementerian Keselamatan Dalam Negeri, Tan Sri Abdul Aziz Mohd. Yusof berkata, nombor itu diseragamkan semula bagi mengelakkan keciciran ketika panggilan kecemasan dibuat selain bertujuan memantau panggilan palsu yang semakin serius.

“Ketika kecemasan orang susah hendak ingat... bila ada satu nombor sahaja, mereka boleh tekan tiga kali, 999. Jadi kita buat keputusan untuk membuat panggilan kecemasan, orang ramai boleh menghubungi 999,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyampaikan tauliah Pegawai Perkhidmatan JPA3 siri 01/2007 di Pusat Pertahanan Awam Negeri Sembilan di sini hari ini.

Hadir sama ialah Ketua Pengarah Pertahanan Awam, Nasir Mat Dam dan timbalannya, Selamat Dahalan.

Ketika ini nombor panggilan kecemasan untuk polis dan ambulans ialah 999, manakala bomba (994), JPA3 ( 991) dan pengguna telefon bimbit ialah 112.

Abdul Aziz berkata, tumpuan kerja kini adalah untuk mempertingkatkan sistem penerimaan panggilan di Telekom Malaysia (TM) yang akan berfungsi sebagai pusat penerimaan panggilan kecemasan (999).

“Sebuah jawatankuasa diwujudkan dengan dipengerusikan oleh Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd. Sidek Hassan bagi menyelaraskan perkara ini.

“Jawatankuasa ini turut disertai oleh pengendali talian telefon bimbit, TM, Kementerian Keselamatan Dalam Negeri, Kementerian Kesihatan, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan serta Kementerian Tenaga, Air dan Komunikasi,” ujar Abdul Aziz.

Katanya, dengan sistem yang dipertingkatkan itu, TM boleh dengan mudah mengenal pasti setiap panggilan yang dibuat menerusi talian kecemasan 999 kerana nombor pemanggil akan tertera yang dapat disimpan untuk rekod dan rujukan.

‘‘Kita sedang menyelaraskan perkara itu supaya sistem yang ada di TM dipertingkatkan agar semua panggilan kecemasan 999 dapat diterima operator tanpa keciciran,’’ katanya.

Beliau turut mengingatkan mereka yang gemar membuat panggilan palsu supaya tidak berbuat demikian kerana jika tertangkap mereka boleh dihadapkan ke mahkamah.

Tambahnya, sistem yang sedang dipertingkatkan itu merupakan ‘perangkap’ kepada mereka yang gemar membuat panggilan palsu.

Menurut beliau, apabila semua sistem di TM sudah berfungsi dengan sempurna tidak timbul lagi masalah panggilan tercicir kerana ketika itu semua respons akan diambil segera oleh operator terlatih sebelum maklumat dihantar ke agensi penyelamat yang diminta oleh pemanggil.

“Kalau sakit, operator TM akan salurkan panggilan ke ambulans di lokasi yang paling dekat dengan tempat kejadian. Begitu juga dengan bomba dan polis,” ujar beliau.

Sementara itu, pada majlis tamat latihan hari ini, seramai 112 pegawai JPA3 menerima pentauliahan masing-masing. Abd. Ba‘ith Abd. Rahim telah diumumkan sebagai peserta terbaik keseluruhan dan Penerima Piala Ketua Pengarah.

Lain-lain penerima cemerlang ialah Nur Azura Samsudin (Aktiviti Luar Terbaik), Syaiful Azril Zainal (Kawad Terbaik) dan Bonnie Madisun (Akademik Terbaik).
Last Updated ( Friday, 18 January 2008 )
 

Pengumuman



 Selamat Datang ke

        Portal eKL

    

MyGov Info
Satu saluran Info Agensi Kerajaan...

Soal Selidik MyBayar
Pandangan anda mengenai pembayaran elektronik kerajaan

Direktori Perkhidmatan
Direktori Perkhidmatan Online Agensi Kerajaan 

Kliklah Siri 4
Perkhidmatan IPT !!! 




    ARTICLES

RSS eKL

PENAFIAN:Kerajaan Malaysia tidak bertanggungjawab terhadap sebarang kehilangan atau kerosakan yang dialami kerana menggunakan maklumat dalam laman ini.

Paparan terbaik menggunakan browser Internet Explorer 7.0 dan Mozilla Firefox

Dasar Privasi | Dasar Keselamatan