|
MyKad, pasport kita taraf dunia. |
|
Friday, 29 June 2007 |
PUTRAJAYA, 28 Jun (Berita Harian) -- MyKad dan pasport Malaysia yang dilengkapi ciri keselamatan canggih mendapat pujian dan diiktiraf sebagai kad keselamatan dan dokumentasi bertaraf dunia oleh pakar perunding keselamatan dan dokumentasi perjalanan dari Amerika Syarikat (AS).
Bekas pegawai di Jabatan Keadilan dan agensi Perkhidmatan Imigresen dan Naturalisasi (INS) AS, Neville W Cramer, menyifatkan MyKad dan pasport Malaysia sebagai dokumen terbaik pernah dihasilkan di dunia dan wajar dicontohi negara lain.
Beliau yang berpengalaman 30 tahun dalam bidang keselamatan dan dokumentasi perjalanan pengalaman menganggap negara sudah mencapai standard terbaik dunia dalam pengeluaran dokumen itu.
“Berdasarkan pengalaman 30 tahun berkhidmat dalam bidang imigresen di AS dan mengkaji di serata pelusuk dunia, Malaysia sudah mencipta standard di dunia.
“Apa yang dilakukan Malaysia ialah menggabungkan teknologi biometrik dan biografik dalam dokumen yang boleh diperakui... inilah yang diperlukan dunia,” katanya selepas pertemuan dengan Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Datuk Seri Mohd Radzi Sheikh Ahmad, di pejabatnya di sini semalam.
Cramer yang bersara daripada perkhidmatan kerajaan pada 2002, menjelajah seluruh dunia bagi mengkaji bidang keselamatan dan dokumentasi perjalanan di negara asing.
Beliau menghasilkan buku pertama bertajuk Fixing the Insanity yang antara lain menghurai dasar dan isu imigresen di AS. Buku kedua Immigration Insanity yang akan diterbitkan tidak lama lagi turut menyentuh pengeluaran MyKad dan pasport Malaysia serta ulasan keberkesanan sistem itu.
Mac lalu, kerajaan melancarkan satu lagi dokumen pengenalan baru iaitu kad identiti imigresen atau i-KAD.
Kad itu dilengkapi 17 ciri keselamatan yang sukar ditiru, seperti ‘ghost image’ bagi gambar, teks mikro, logo yang hanya boleh dilihat di bawah cahaya ultra ungu, peta Malaysia pada lapisan atas dan cetakan teks menggunakan laser.
Cramer berkata, dokumen seperti itu mempermudahkan pergerakan manusia di seluruh dunia dan mengelakkan kesesakan di kaunter pemeriksaan, terutama apabila pesawat Airbus 380 mula digunakan syarikat penerbangan di seluruh dunia.
“Dianggarkan antara 1,500 hingga 1,800 penumpang akan berada serentak jika dua atau tiga pesawat Airbus 380 mendarat pada waktu sama atau antara 10 hingga 15 minit. Semua penumpang akan menuju ke kaunter Imigresen pada waktu sama dan sudah tentu tanpa dokumen perjalanan diri yang canggih, kesesakan akan berlaku,” katanya.
Cramer berkata, MyKad yang dihasilkan Malaysia juga dianggap sesuatu yang sukar dipercayai kerana ia mempunyai pelbagai kegunaan.
“Ia bukan sekadar mengesahkan identiti diri, tetapi berfungsi sebagai lesen memandu, kad kesihatan dan kad mengeluarkan wang. Ini sesuatu yang perlu dilihat dunia,” katanya. |
|
Last Updated ( Friday, 18 January 2008 )
|
|
|
MAMPU Director-General
The WITSA Global ICT Excellence Awards are held every two years, in connection with WITSA’s premier event; the World Congress on IT. MyGovernment Portal Wins Global ICT Award - More Info
RSS eKL
|