|
Alasan PDRM tiada mesin pengimbas tak dilayan. |
|
Friday, 06 July 2007 |
ARAU, 5 Julai (Berita Harian) -- Alasan tiada alat pengimbas untuk memeriksa lesen memandu pada kad pengenalan pintar (MyKad) oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) tidak akan dilayan lagi sebaik semua anggotanya terutama yang bertugas di lapangan dibekalkan alat berkenaan, selewat-lewatnya Disember ini.
Malah, mulai tahun depan, polis juga tidak mempunyai sebarang alasan lagi untuk menolak penggunaan MyKad menggantikan lesen memandu, sebaik proses penyerahan alat berkenaan selesai sepenuhnya.
Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Datuk Seri Mohd Radzi Sheikh Ahmad, berkata banyak rungutan diterima daripada orang awam atau anggota penguat kuasa sendiri berhubung kekurangan atau ketiadaan alat pengimbas mudah alih terbabit untuk tujuan operasi.
Beliau berkata, walaupun sudah lebih 120,000 alat pengimbas diedarkan kepada badan penguat kuasa termasuk PDRM dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) sehingga kini, namun ia masih tidak mencukupi.
"Justeru, kami akan bekalkan lebih banyak alat pengimbas mudah alih terbabit kepada badan penguat kuasa dalam tempoh terdekat, untuk memudahkan sekali gus melancarkan urusan pemeriksaan dan operasi.
"Kita sasarkan matlamat satu anggota polis satu alat pengimbas menjelang hujung tahun ini dan selepas tempoh itu tiada lagi alasan dan PDRM juga harus menerima penggunaan aplikasi MyKad menggantikan lesen memandu sepenuhnya," katanya kepada pemberita, di sini, semalam.
Difahamkan, PDRM kini mempunyai kira-kira 97,000 anggota di seluruh negara dan dijangka menambah 60,000 lagi keanggotaannya dalam tempoh terdekat untuk memenuhi keperluan pelbagai bidang tugas kepolisan.
Sementara itu, Mohd Radzi turut meminta semua jabatan berkenaan termasuk PDRM, JPJ serta pihak bank dan institusi kewangan menggalakkan orang ramai mendaftar semua sembilan aplikasi MyKad termasuk bagi menggantikan lesen memandu dan kad juruwang automatik (ATM). |
|
Last Updated ( Friday, 18 January 2008 )
|