Teleperubatan: Menjangkaui batasan masa, sempadan.
Monday, 09 July 2007
LAPORAN KHAS (Harian Metro) : Penjagaan kesihatan ke tahap baru

SATU daripada tujuh aplikasi perdana Koridor Raya Multimedia (MSC) Malaysia yang diwujudkan pada 1995 ialah ‘teleperubatan’ yang menyaksikan bidang perubatan dibabitkan secara langsung atau tidak langsung ke dalam teknologi maklumat dan komunikasi (ICT). Ia sejajar dengan komitmen negara dalam era digital yang mahu bergerak menuju ke arah ekonomi berasaskan pengetahuan (k-ekonomi) dengan pembabitan masyarakatnya secara aktif.

Disebabkan perubahan mendadak akibat perkembangan teknologi, sektor perubatan atau penjagaan kesihatan mengalami perubahan yang sama.

Teleperubatan menggunakan ICT dan elektronik bagi penyediaan serta menyokong sektor berkaitan yang bukan sekadar sebagai kegunaan setempat, malah amat berfaedah ketika pengguna berada di lokasi berlainan.

Ia adalah sistem yang menghubungkan doktor, pentadbir, penyedia perkhidmatan dan pesakit.

Kaedah capaiannya berkaitan rapat dengan komputer peribadi, komputer riba, komputer telapak dan telefon bimbit.

Apabila teknologi capaian berkembang, sukar untuk dinafikan bahawa pelbagai kemudahan boleh disediakan terutama bagi masyarakat yang tinggal jauh di kawasan pedalaman.

Akibat prasarana fizikal yang menyukarkan, teknologi telekomunikasi canggih ketika ini memungkinkan pesakit dapat diselamatkan kecuali memerlukan sentuhan fizikal seperti pembedahan oleh doktor ke atas pesakit.

Tetapi, sekurang-kurangnya pendekatan awal menghadapi saat kecemasan boleh dilakukan serta-merta ke atas pesakit dengan bantuan doktor menerusi telefon atau Internet.

Teknologi telekomunikasi tanpa wayar kini sudah ke peringkat perbualan bervideo (3G/3.5G), begitu juga dengan Internet yang jauh lebih maju untuk membolehkan kita berbicara bersemuka walaupun berada di lokasi berjauhan.

Antara aplikasi utama teleperubatan termasuk klinikal, pendidikan, pentadbiran, penyelidikan, penilaian atau pemeriksaan pesakit, diagnosis (telediagnosis) dan perundingan (telekonsultasi).

Secara ringkasnya, pegawai perubatan kini boleh merawat pesakit dari jauh. Pemantauan boleh dilakukan dari mana saja.

Sementara pentadbiran boleh dilakukan dengan telesidang, penjadualan, kepenggunaan serta penilaian kualiti kerja, penyelidikan pula dimajukan menerusi agregasi data daripada berbilang sumber dan koordinasi.

Bagaimanapun, mungkin ada yang berfikiran sebaliknya dengan pendapat bahawa negara kita masih terlalu jauh dengan situasi sedemikian yang kononnya masih di peringkat imaginasi.

Usah berfikiran negatif. Teleperubatan adalah satu daripada aplikasi perdana MSC Malaysia. Ia kian menjadi kenyataan dengan pelaksanaan beberapa pendekatan untuk menuju ke matlamat berkenaan.

Kerajaan kita serius dan mahukan rakyatnya maju serta mengecapi pelbagai manfaat daripada kemajuan ICT.

Hospital Putrajaya adalah antara hospital kerajaan pertama mengamalkan pendekatan berelektronik. Sistem Maklumat Hospital Bersepadu (THIS) membolehkan proses rujukan kes pesakit dilakukan di mana saja pesakit mendapatkan rawatan.

Pelaksanaan THIS dikatakan akan mengurangkan kesesakan di hospital merangkumi sistem maklumat di hampir keseluruhannya termasuk dari aspek klinikal, pengurusan kewangan dan sumber manusia.

Selain Hospital Putrajaya, beberapa hospital baru lain terbabit dengan pelaksanaan inisiatif ini termasuk Hospital Serdang, Ampang, Sungai Buloh dan Hospital Selayang.

Kerajaan Malaysia memperuntukkan lebih setengah juta ringgit untuk mewujudkan inisiatif ICT di Hospital Putrajaya. Sudah tentu hospital lain juga akan memakan belanja yang besar.

Secara logik akal, jika hospital kerajaan sedia ada hendak melaksanakan inisiatif teleperubatan, sudah tentu ia memerlukan belanja besar. Bagaimanapun kerajaan dikatakan akan melaksanakannya secara berperingkat.

Walaupun hanya hospital kerajaan yang dilihat terbabit dalam teleperubatan, hospital swasta sebenarnya turut serta melaksanakannya, malah ada yang lebih awal.

Pelaksanaan teleperubatan secara menyeluruh bukan satu perkara yang mudah kerana pelbagai aspek perlu diambil kira termasuk prasarana asas penyediaannya.

Ia bukan saja perkakasan, perisian, jalur lebar dan berbagai aspek lagi dalam ICT, malah perundangan adalah aspek utama yang perlu diambil kira.

Kita yakin bahawa pelbagai perkakasan, perisian atau aspek teknologi penyediaan untuk melaksanakan teleperubatan sudah terlalu banyak dibangunkan, namun masih ada beberapa perkara yang menjadi kekangan.

Ia termasuk perundangan dan peraturan serta penyepaduan antara berlainan hospital swasta, hospital kerajaan dan antara hospital swasta dengan hospital kerajaan.

Jika difikirkan logik akal/teknologi, sesebuah sistem berkomputer dan berelektronik itu tidak sukar untuk menyepadukan teknologi dibangunkan untuk membolehkan setiap sistem itu berkomunikasi antara satu dengan lain walaupun di atas platform berlainan.

Jika semua itu disepadukan, maka wujudlah sebuah rangkaian perkomputeran perubatan yang besar.

Semua orang khususnya pentadbir dan pengamal perubatan boleh mencapai semua maklumat dikehendaki di hujung jari. Rekod pesakit boleh diperoleh dengan pantas walaupun berada di hospital berlainan.

Malah, dengan adanya satu lagi aplikasi perdana iaitu ‘kad pelbagai guna’ yang kini diaplikasi ke dalam MyKad. Ia membolehkan rekod perubatan disimpan ke dalam MyKad dan dibawa ke mana saja.

Bagaimanapun, semua itu belum terlaksana disebabkan beberapa perkara termasuk perundangan atau peraturan walaupun Akta Teleperubatan 1997 sudah diwujudkan.

Pengwujudannya untuk mengadakan peruntukan bagi pengawalseliaan dan pengawalan amalan teleperubatan dan bagi perkara yang berkaitan dengannya.

Pelbagai kekangan itu sering dibincangkan pemain industri.

Philips ialah syarikat terkemuka dunia yang banyak membangunkan peralatan berkaitan penjagaan kesihatan seperti mesin pengimbas x-ray, CT scan, MRI, ultrabunyi dan sebagainya.

Satu persidangan meja bulat anjuran Philips baru-baru ini yang dipengerusikan Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), Kumpulan Syarikat Philips di Malaysia, Rajah Kumar diadakan bertujuan untuk bertukar pendapat.

Ia dihadiri beberapa panel termasuk Pengarah Biro Peralatan Perubatan, Kementerian Kesihatan Malaysia, Wang Hwee Beng, dan CEO, Kumpulan Penjagaan Kesihatan, Pusat Perubatan Subang Jaya (SJMC).

Turut serta ialah Naib Presiden dan Pengurus Besar, Rantau Pelbagai Negara – Asia, Philips Medical Systems, Wayne Spittle; Pengarah – Sains Penjagaan Kesihatan & Kehidupan, IBM Asia Pasifik, R R Madhav dan Ketua Penyelesaian dan Integrasi – Bahagian Perniagaan Enterprise, Maxis Broadband Sdn Bhd, Abdur Rahman Ebrahim.

Pelbagai topik dibincangkan berkaitan dunia perubatan dengan merujuk terus kaitannya dengan Malaysia.

Tinjauan Philips mendapati penyepaduan teknologi ke dalam segmen penjagaan kesihatan akan menggalakkan capaian yang lebih saksama kepada penjagaan kesihatan bermutu tinggi bagi rakyat Malaysia. Ia juga menjadi objektif utama bagi Kementerian Kesihatan Malaysia.

Pengerusi menyimpulkan Malaysia memiliki sistem penjagaan kesihatan yang baik dengan penyediaan perkhidmatan secara saksama dengan kos berpatutan kepada rakyat.

Bagaimanapun, kebolehan untuk mencapai adalah sesuatu yang perlu diusahakan dan kosnya pula dikawal.

Semua ahli panel bersetuju bahawa sistem dan teknologi sudah ada, begitu juga dengan peralatan dan perkakasan, cuma kaedah pelaksanaannya saja yang perlu difikirkan untuk disegerakan agar seluruh masyarakat mendapat manfaat terbaik.

Mereka juga sependapat bahawa faktor capaian amat penting. Ia perlu dilaksanakan sama ada menerusi kios atau apa juga jenis capaian.

Walaupun bersetuju dengan isu capaian saksama, wujud kekangan mengenai isu hak milik rekod pesakit.

Adakah ia milik pesakit atau milik hospital? Sering timbul masalah pesakit yang hadir atau dibawa ke hospital, tetapi memiliki rekod di hospital lain. Tidak dinafikan kerana kemungkinan ketika itu, pesakit berada dalam waktu kecemasan.

Daripada pengalaman lalu atau rungutan yang sering kita dengar ialah kesukaran seseorang pesakit itu membawa keluar rekod perubatan untuk diserahkan kepada hospital lain. Mungkin tidak sukar bagi hospital kerajaan. Tapi bagaimana pula dengan hospital swasta? Terutama jika hospital swasta itu berlainan pengurusan.

Panel persidangan meja bulat Philips menyarankan supaya kerajaan khususnya Kementerian Kesihatan mewujudkan peraturan khas atau memusatkan (seperti bank data) semua rekod pesakit.

Wakil kementerian dalam panel itu berpendapat ia boleh dilaksanakan, cuma masa yang akan menentukan. Sebagai permulaan, disarankan semua hospital sama ada milik kerajaan atau swasta supaya lebih bersikap terbuka dan bertoleransi.

Rekod kesihatan elektronik adalah sesuatu yang amat berharga. Ia boleh dimasukkan ke dalam sistem berasaskan web dan boleh diuruskan melalui badan kesihatan nasional supaya pemilikan tidak menjadi isu.

Ini bagi membolehkan maklumat pesakit dihantar apabila beliau berpindah dari satu hospital ke hospital lain. Jika memperkatakan mengenai capaian, perkara ini amat perlu dilaksanakan secepat mungkin.

Walaupun mereka akur dengan kos yang besar untuk sesuatu penyepaduan, penyeragamannya adalah suatu yang kritikal. Pihak kementerian perlu menyediakan kemudahan penyeragaman dan membawa semua pemegang kepentingan untuk berbincang mengenai cara bagi memajukannya ke peringkat seterusnya.

Dalam perkembangan lain, laporan Rancangan Malaysia Kelapan (2001-2005) mengatakan teleperubatan bertujuan mempercepatkan pencapaian visi penjagaan kesihatan di Malaysia untuk melahirkan individu, keluarga dan masyarakat yang sihat.

Teleperubatan sudah dilaksanakan di 42 pusat kesihatan dan 41 pusat perundingan yang kebanyakannya terletak di kawasan luar bandar.

Tiga projek lagi iaitu Mass Customised/Maklumat Kesihatan Peribadi dan Pendidikan (MCPHIE), Pendidikan Perubatan Lanjutan (CME) dan Rancangan Kesihatan Sepanjang Hayat (LHP) selesai dilaksanakan untuk fasa pertamanya.
Last Updated ( Friday, 18 January 2008 )
 

Pengumuman



 Selamat Datang ke

        Portal eKL

    

MyGov Info
Satu saluran Info Agensi Kerajaan...

Soal Selidik MyBayar
Pandangan anda mengenai pembayaran elektronik kerajaan

Direktori Perkhidmatan
Direktori Perkhidmatan Online Agensi Kerajaan 

Kliklah Siri 4
Perkhidmatan IPT !!! 




    ARTICLES

RSS eKL

PENAFIAN:Kerajaan Malaysia tidak bertanggungjawab terhadap sebarang kehilangan atau kerosakan yang dialami kerana menggunakan maklumat dalam laman ini.

Paparan terbaik menggunakan browser Internet Explorer 7.0 dan Mozilla Firefox

Dasar Privasi | Dasar Keselamatan