|
Skali Dilantik Kendali Projek Naik Taraf Laman Web Kerajaan. |
|
Thursday, 12 July 2007 |
KUALA LUMPUR, 12 Julai (Bernama) -- Kerajaan melantik sebuah syarikat berasaskan e-perniagaan, Skali, untuk mengendalikan projek menaik taraf 450 laman web Kerajaan Persekutuan dan agensi kerajaan, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini.
Di bawah projek yang dikenali sebagai "mengurus perkhidmatan portal", beliau berkata Skali akan melatih 4,000 graduan menganggur dalam bidang teknologi seperti reka bentuk, pengurusan projek dan sebagainya bagi tujuan itu.
"Melalui projek ini kita percaya sekurang-kurangnya 400 usahawan baru dapat dijana. Skali telah memulakan projek ini dan akan dilancarkan dalam tempoh terdekat ini," kata Najib kepada pemberita selepas melancarkan buku "Skali Lagi-One More Time" di Pusat Dagangan Dunia Putra di sini, hari ini.
Buku yang ditulis oleh Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Skali Tengku Farith Rithauddeen itu mengisahkan pahit getir perjalanan syarikat itu dalam industri teknologi maklumat, boleh didapati dalam versi Bahasa Malaysia dan Inggeris pada harga RM39.95 senaskah.
Dalam perkembangan lain, Najib meminta institusi kewangan supaya memberi peluang kedua kepada usahawan yang pernah gagal untuk bangun semula dengan memberi pinjaman kepada mereka.
Beliau berharap institusi kewangan tidak menjadikan kegagalan mana-mana usahawan sebagai halangan bagi mereka untuk mendapatkan bantuan kewangan.
"Institusi kewangan harus beri pertimbangan kepada mereka yang ada potensi dan semangat untuk bangun dari kegagalan yang pernah dihadapi.
"Kejayaan Skali boleh dijadikan contoh di mana mereka pernah melalui pahit getir dalam industri teknologi maklumat tetapi kerana mereka gigih, mereka akhirnya mendapat kejayaan dan kemungkinan akan terus berkembang," katanya.
Mengulas keputusan Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail mengarahkan Badan Pencegah Rasuah (BPR) menutup kes siasatan rasuah terhadap Timbalan Menteri Keselamatan Dalam Negeri Datuk Mohd Johari Baharom, Najib berharap Mohd Johari kini menjalani kehidupan yang lebih tenang dan lega.
"Kalau Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail yang ambil keputusan demikian maka Peguam Negara telah puas hati bahawa siasatan sepenuhnya telah dijalankan dan tidak ada tindakan pendakwaan yang perlu diambil," katanya.
Abdul Gani berkata tiada apa-apa keterangan yang boleh mengaitkan Mohd Johari dengan sebarang kesalahan rasuah kononnya menerima RM5 juta bagi membebaskan beberapa pesalah yang ditahan mengikut Ordinan Darurat 1969.
-- BERNAMA |
|
Last Updated ( Friday, 18 January 2008 )
|